Pasca PRU15: UMNO Terbuka Dan Muhasabah, Masa Perkukuh Semua Peringkat – Dr Masliha

KUALA LUMPUR, 13 Dis – Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai UMNO akan menerima apa sahaja usul yang boleh memperkukuhkan parti dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO membuktikan bahawa parti itu bersifat terbuka dan bermuhasabah di atas apa yang berlaku.

Exco Puteri UMNO Malaysia, Dr Masliha Harun berkata, ini adalah masa untuk memperkukuhkan parti dari peringkat Cawangan, Bahagian dan Pusat.

“Saya menyambut baik ulasan Datuk Seri Presiden berkaitan penerimaan apa jua usul yang boleh membantu memperkukuhkan parti dan merapatkan saf kepimpinan. Ini terbukti UMNO bersifat terbuka dan bermuhasabah di atas apa yang terjadi.

“Penolakan rakyat terhadap UMNO/Barisan Nasional (BN) jelas pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu. Antara salah satu sebabnya adalah UMNO dilihat berpecah serta berkem-kem. Ada segelintir pemimpin UMNO yang bertanding telah mengata parti sendiri dan memburukkan institusi Presiden. Ini menunjukkan UMNO dilihat hina dan ditambah keji oleh segelintir masyarakat.

“Sekarang tibalah masanya untuk kita memperkukuhkan parti, buang segala duri dalam daging, api dalam sekam dan berusaha sebaiknya untuk menguatkan akar umbi parti kita dari peringkat Cawangan, Bahagian dan Pusat,” katanya kepada UMNO Online.

Dr Masliha turut berpendapat bahawa UMNO boleh bergerak sekiranya akar umbi dan ahli parti masih setia bersama namun perlu bangkit dengan lebih progresif.

“Kita mampu bergerak sekiranya akar umbi dan keseluruhan ahli parti tidak berpecah. Insya-Allah ramai yang masih setia dan mahu bersama UMNO. Cuma UMNO perlu dilihat segera bangkit dan lebih progresif.

“Datuk Seri Presiden dilihat lebih terbuka, demokrasi dan berlapang dada apabila menerima apa saja usul yang bakal dibangkitkan apabila ianya telah menjadi keresahan di peringkat akar umbi.

“Ini salah satu contoh ‘Demokrasi Kepimpinan’ yang ada dalam UMNO. Harap kita dapat gunakan sebaiknya. Gunakan ruang yang ada untuk kita merancang, membuat strategi yang baharu dan mempamerkan tindakan yang segera untuk kebangkitan parti kita,” katanya lagi.

Pada Ahad media melaporkan bahawa UMNO akan menerima apa sahaja usul untuk dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO yang akan datang selagi mana ia dapat memperkukuhkan parti.

Jelas Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi, keutamaan parti pada waktu ini adalah untuk merapatkan saf dalam kalangan pemimpin setelah ‘terpukul dengan kuatnya’ pada PRU ke-15. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.