Melaka Bentang Bajet 2023 Berjumlah RM537.43 Juta

MELAKA, 12 Dis – Kerajaan negeri Melaka hari ini membentangkan Bajet 2023 berjumlah RM537.53 juta pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata daripada jumlah itu perbelanjaan mengurus berjumlah RM455.43 juta membabitkan RM11.56 juta tanggungan dan RM443.86 juta bagi bekalan.

Manakala perbelanjaan pembangunan pula membabitkan RM82 juta, merangkumi RM58.36 juta sumber hasil negeri, RM23.64 juta bagi geran tahap kerajaan Persekutuan dan token RM20 bagi akaun pinjaman disatukan, katanya.

Sulaiman berkata berkata kerajaan negeri menganggarkan hasil diterima pada tahun depan adalah sebanyak RM455.55 juta membabitkan RM145.92 juta hasil cukai, RM297.54 juta hasil bukan cukai dan RM12.09 juta terimaan bukan hasil.

Menurutnya, Bajet 2023 yang berteraskan prinsip ‘no one is left behind’ (tidak ada yang dipinggirkan) itu dilaksanakan dengan fokus kepada tiga agenda utama iaitu mensejahtera sosio-ekonomi rakyat, memulih menuju kemampanan ekonomi dan mempercekap perkhidmatan awam.

“Inisiatif Bajet 2023 dicerakinkan kepada 11 fokus utama selari dengan Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035),” katanya ketika membentangkan bajet tersebut yang bertemakan Teguh Bersama Makmur Melaka: Memulih Ekonomi, Memperingat Akujanji, Mensejahtera Rakyat, di sini, hari ini.

Sulaiman berkata agenda mensejahtera sosio-ekonomi rakyat melibatkan tiga strategi iaitu mengutamakan kebajikan rakyat, melengkapkan kemudahan asas rakyat dan menyediakan persekitaran lestari.

“Bagi agenda kedua iaitu memulih menuju kemampanan ekonomi, ia membabitkan enam strategi iaitu memperkasa Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) sebagai ejen transformasi pembangunan ekonomi, menjadikan Melaka sebagai destinasi pilihan pelaburan dan memacu industri pelancongan Melaka sebagai destinasi terunggul.

“Selain itu, meningkatkan ketahanan sektor pertanian, merancakkan digitalisasi dan pembangunan inklusif,” katanya.

Manakala bagi agenda ketiga iaitu mempercekap perkhidmatan awam, ia merangkumi satu strategi membabitkan memperkasa sistem penyampaian kerajaan.

Sementara itu, Sulaiman turut mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak setengah bulan gaji kepada penjawat awam negeri berdasarkan gaji terakhir bulan Disember dengan pembayaran dibayar sebanyak dua kali iaitu pada Februari dan April tahun depan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM700 kepada semua penjawat awam negeri Melaka. – BERNAMA