Semoga Kerajaan Perpaduan Beri Manfaat Kepada Rakyat – Norshida

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berharap agar keputusan Barisan Nasional (BN) untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) akan memberikan manfaat kepada rakyat khususnya pengundi UMNO/BN.

Jelasnya, meskipun BN hanya memperoleh sebanyak 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang lalu, parti itu menjadi penentu kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan hari ini.

“Perlu ingat, 30 kerusi Parlimen yang dimenangi oleh BN tempoh hari merupakan penentu di antara dua kerajaan. Maknanya dua gabungan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“BN adalah parti penentu di antara dua gabungan dan hari ini kita mengambil ketetapan untuk mengadakan Kerajaan Perpaduan bersama PH. Di peringkat akar umbi mengharapkan semoga ada kebaikan kepada semua rakyat khususnya para pengundi UMNO/BN dengan pembentukan kerajaan ini,” katanya kepada UMNO Online.

Mengulas lanjut, Norshida turut berkata, penerangan diberikan oleh Setiausaha Agung (SUA) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan semasa program bersama Wanita UMNO baru-baru ini berjaya menjelaskan senario politik yang berlaku.

“Alhamdulilah dengan penerangan SUA berikan banyak memberi penjelasan dan pemahaman yang kepada kita sebagai Ketua-Ketua Wanita Bahagian-Bahagian untuk memberi pandangan serta pendapat di akar umbi agar mereka lebih jelas dengan apa senario politik berlaku sekarang ini.

“Kita mengharapkan semoga dengan adanya penerangan seperti ini kita lebih menguatkan dan memperkukuhkan parti kita supaya mereka ini lebih erat dan muhasabah diri dengan apa sahaja kejadian yang berlaku,” katanya lagi.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang Dipertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.