Satu Amanah Yang Berat… Demi Agama, Rakyat, Bangsa Dan Negara – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR,10 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perlantikan sebagai Timbalan Menteri Kewangan adalah satu tanggungjawab serta amanah yang berat.

Menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitternya, beliau turut menjelaskan bahawa ini adalah satu amanah yang besar dan mesti ditunaikan.

“Saya dengan rendah diri menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakan-rakan seperjuangan dalam politik ini dan terima kasih atas ucapan tahniah daripada rakan-rakan.

“Jawatan adalah suatu amanah berat yang mesti ditunaikan. Saya akan lakukan yang terbaik demi agama, rakyat, bangsa dan negara.

“Mohon doakan agar saya sentiasa diberi kekuatan dan petunjuk daripada Allah SWT dalam menghadapi pelbagai cabaran. Terima kasih,” katanya.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan Timbalan Menteri yang akan menganggotai kabinet kerajaan perpaduan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Seramai enam Timbalan Menteri daripada Ahli Parlimen BN dilantik ke jawatan tersebut.

Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian, dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Kewangan selepas kali terakhir berkhidmat di bawah portfolio itu ketika di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.