Abdul Rahman Akan Berikan Sepenuh Tenaga, Pemikiran Pacu Kejayaan Negara

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad melahirkan rasa syukur dan terima kasih atas kepercayaan oleh parti Barisan Nasional (BN) terutamanya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi parti atas tanggungjawab yang telah diberikan.

Katanya, tidak ketinggalan juga sekalung penghargaan tertinggi juga diucapkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan ini.

“InsyaAllah… saya akan berikan sepenuh tenaga dan pemikiran untuk membantu membawa negara terus ke mercu kejayaan.

“Tak lupa kepada semua pengundi dan penyokong yang tidak henti-henti memberi sokongan kepada saya, demi masa depan negara tercinta. Syukur kehadrat Illahi dan terima kasih atas doa semua,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis menjelaskan pelantikan ini bukanlah untuk dibanggakan dan dimegahkan.

“Sebaliknya ini adalah satu mandat, amanah dan tanggungjawab yang saya perlu pikul selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk memastikan Kerajaan Perpaduan dapat membentuk sebuah kerajaan yang lebih stabil dan merancakkan ekonomi dan pembangunan negara.

“InsyaAllah, amanah ini akan sedaya upaya digalas dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan rakyat. Terima kasih,” katanya lagi.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan barisan Timbalan Menteri yang akan menganggotai kabinet kerajaan perpaduan pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Seramai enam Timbalan Menteri daripada Ahli Parlimen BN dilantik ke jawatan tersebut. – UMNO Online