Wanita UMNO Tetap Setia, Solidariti Terhadap Institusi Presiden – Rosni Sohar

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rosni Sohar menzahirkan kesyukuran kerana Wanita UMNO adalah entiti parti yang pertama menunjukkan solidariti terhadap kepimpinan institusi Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Setiausaha Wanita UMNO mengharapkan agar seluruh akar umbi terus setia bagi menentukan parti ini terpelihara demi bangsa Melayu.

“Alhamdulillah… Wanita UMNO adalah yang pertama menunjukkan solidariti kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan parti. Dalam masa yang sama juga saya mengharapkan akar umbi Wanita UMNO akan bersama Wanita UMNO Pusat bagi menentukan parti ini terus terpelihara dan membina nasib bangsa Melayu.

“Semua Ketua-ketua Wanita UMNO seluruh bahagian menunjukkan solidariti kepada kepimpinan dan menyerahkan mandat kepada kepimpinan Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO supaya membawa arah tuju parti ini bersama Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada UMNO Online.

Rosni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Bernam turut berharap dengan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan ini, UMNO sentiasa akan menjaga hak-hak orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu dapat terpelihara.

“Wanita UMNO bersedia dan mengharapkan dengan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan ini dapat menentukan hak-hak orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu terpelihara.

“Wanita UMNO setia memberikan sokongan yang padu kepada kepimpinan Presiden dan mengikut arahan Yang di Pertuan Agong (YDPA) dan Majlis Raja-raja Melayu,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan