‘Sebelum Rumah Kita Terbakar, Perlu Keluarkan Api Dalam Sekam Ini’ – Isham

KUALA LUMPUR, 7 Dis – “Sebelum rumah kita terbakar, kita perlu keluarkan api dalam sekam ini.

Demikian kiasan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil sebagai memberi respon kepada bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang berkongsi berkenaan ‘mimpi’ dialami dirinya di hantaran Facebooknya, hari ini.


Isham berkata tindakan mengeluarkan api dalam sekam itu perlu dilakukan bagi memastikan ‘rumah dan ahli keluarga’ diselamatkan daripada sebarang perkara tidak diingini.

“Saya juga ada mimpi semalam. Saya mimpi dalam rumah kita ada api dalam sekam. Api itu mahu bakar rumah kita supaya kita merempat dan pergi menumpang rumah orang lain.

“Orang lain itu adalah tuan kepada api ini dan dia sudah lama mahu bakar rumah kita dan halau kita keluar dari rumah sendiri.

“Baru rumah kita selamat dan keluarga kita bahagia. Semoga Allah SWT merahmati kita semua,” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi itu juga pada masa sama berharap Annuar Musa redha dengan ketentuan Allah SWT.

“Terima kasihlah Tan Sri sebab cerita pasal mimpi dan igauan Tan Sri. Mungkin Tan Sri impikan nak jadi menteri lagi tapi tidak jadi dan tiada rezeki.

“Tidak mengapa, redha sahajalah ketentuan Allah SWT, Dia penentu segala. Kita hanya manusia yang berusaha, jika Allah tidak izin, maka adalah sebabnya.

“Menang itu penting, namun bagaimana kita menang itu lebih penting, jika sumber kemenangan itu tidak berkat, maka kifarah akan bersemuka,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.