Pemimpin UMNO Dilantik Ke Kabinet Berpengalaman, Mampu Berperanan Dalam Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR, 9 Dis – Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa percaya dengan kebolehan pemimpin parti yang telah dilantik menganggotai Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Katanya ini kerana, sebahagian besar daripada mereka memiliki pengalaman sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Pemimpin kita memang ada pengalaman dalam mentadbir, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri pernah jadi Timbalan Perdana Menteri, termasuk menteri-menteri lain iaitu Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin pernah jadi menteri Menteri Pengajian Tinggi serta Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir pernah jadi Menteri Besar Perak.

“Saya yakin mereka mampu memberi satu perkhidmatan yang baik berdasarkan kepada pengalaman, kredibiliti dan kepimpinan mereka dalam UMNO.

“Tunjuk contoh, perform baik-baik dalam Kementerian atau peranan yang diberi kepada mereka jadi di sini ada give and take iaitu saling belajar antara parti-parti Pakatan Harapan boleh bekerjasama untuk membangunkan negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program secara langsung Hello Malaysia: UMNO & Pilihan yang disiarkan secara langsung di Facebook UMNO Online.

Tambah Othman lagi, pemimpin yang dilantik ini juga memainkan peranan tersendiri mereka kepada parti kerana menjadi pendukung parti keramat ini ketika melalui pelbagai cabaran termasuk kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Semua yang duduk dalam Kabinet baharu ini adalah pendukung UMNO sejak parti ini kalah PRU14, mereka inilah yang berjuang sekarang ini dan yang berada dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.