UMNO Perlu Kekal Pendorong, ‘Check and Balance’ Kepada Kerajaan – Mohd Puad

KUALA LUMPUR, 8 Dis – UMNO mesti kekal sebagai pendorong, check and balance kepada kerajaan tanpa sebarang kompromi, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Jelasnya, kerajaan perlu didesak untuk menyegerakan beberapa kes dan isu yang tertunda sebelum ini.

“Malam ini mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO. Ini MKT pertama selepas Zahid Hamidi, Tok Mat (Mohamad Hasan), Dr Zambry, Azalina, Khaled Nordin dan Tengku Zafrul menyertai kabinet Anwar Ibrahim.

“MKT UMNO, mesti kekal sebagai pendorong, check and balance kepada kerajaan. Tiada kompromi.

“Kerajaan perlu didesak menyegerakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tommy Thomas, RCI Tabung Haji, dakwa Hakim Nazlan, dakwa Zetti Aziz, perbicaraan adil untuk Bossku dan saman isu Pulau Batu Putih,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu turut berpendapat bahawa Perikatan Nasional (PN) tidak boleh membantah dan lebih terbuka untuk disiasat secara terperinci mengenai salah kelola kewangan zaman pemerintahan Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“PN tidak boleh bantah. Itu sesuai dengan tagline PN ‘Prihatin, Bersih dan Stabil’. PN mesti terbuka siasatan terperinci dakwaan salah kelola kewangan zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Ini bukan soal balas dendam atau salah guna kuasa. Ini penggiliran mencari kebenaran. ‘Dulu, orang lain kena siasat, kini engkau kena siasat’. Apadahal. Jangan sloganis,” katanya lagi.

Pada Isnin, media melaporkan bahawa bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak takut untuk disiasat susulan dakwaan seleweng dana kerajaan berjumlah RM600 bilion ketika mengetuai pentadbiran sebelum ini.

Bagaimanapun, tindakan PN berkempen dengan ‘mewah’ pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menyebabkan ramai pihak meminta agar skandal terbesar ini disiasat bagi mengelakkan penyelewengan dilakukan secara berleluasa. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.