Suasana Tenang PRU DUN Tioman, Ruang Selesa Pengundi Jayakan Proses Demokrasi

ROMPIN, 7 Dis – Suasana hari pengundian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman sehingga tengah hari menyaksikan suasana lengang dengan pengundi dilihat beransur-ansur untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Beberapa pusat pengundian yang dibuka bermula jam 8.00 pagi tadi berlangsung dalam suasana yang amat baik dan proses pengundian lancar dengan dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Suasana lengang di pusat pengundian SK dan SMK Tanjung Gemuk dan cuaca yang baik membolehkan pengundi membuang undi masing-masing dengan selesa.

Begitu juga di pusat pengundian SK Janglau dan SK Sg Puteri, suasana cukup tenteram dan kelihatan petugas SPR serta pihak keselamatan membantu melicinkan proses PRU di kawasan berkenaan yang akan berakhir petang ini.

Proses pengundian bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) DUN Tioman bermula secara rasmi pada 8 pagi ini, melibatkan 28,108 pengundi.

Sebanyak 17 pusat mengundi dibuka melibatkan 52 saluran yang bermula 8 pagi hingga 6 petang.

PRU15 di kawasan berkenaan ditangguhkan berikutan kematian calon yang telah disahkan bertanding Md Yunus Ramli mewakili Perikatan Nasional (PN).

DUN Tioman menyaksikan pertandingan lima penjuru antara calon BN, PN, PH, Pejuang dan seorang Bebas tetapi PH sudah menyatakan menarik diri daripada PRU berkenaan sebagai tanda kesepakatan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri dan nasional.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.