Langkah BN Junjung Titah, Demi Kepentingan Parti Dan Rakyat

ROMPIN, 7 Dis – Langkah yang diambil Barisan Nasional (BN) dengan membentuk kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) serta lain-lain parti untuk menubuhkan kerajaan perpaduan adalah atas dasar menjunjung titah ke bawah duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pada masa yang sama istikharah turut dilaksanakan dalam usaha memohon petunjuk daripada Allah SWT dalam sebarang keputusan yang diambil bersama rakan kepimpinan yang lain.

“Saya yang memimpin BN dengan serba tekanan dan kepayahan dari dalam dan luar… apa yang saya lakukan adalah menyelamatkan BN dan menyelamatkan UMNO.

“Kita tahu PN atau PH ada mudarat… tetapi istikharah kita, panduan kita daripada Allah SWT, siapa yang memberi mudarat yang lebih besar… PN atau PH… tetapi saya tidak membuat keputusan seorang diri.

“Saya bawa kepada rakan-rakan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT)… saya tahu mustahil untuk mendapatkan persetujuan 100 peratus, tetapi saya berterima kasih kepada MKT apabila hampir 100 peratus daripada mereka telah memberikan dukungan bahawa kita harus bersama-sama dengan kerajaan PH atas nama kerajaan perpaduan… sebab apa…atas titah ke bawah duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Himpunan Rakyat Bersama TPM di Kuala Rompin, semalam.

Turut serta Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Besar dan juga pimpinan yang lain.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO seterusnya mengajak seluruh pimpinan dan ahli di semua peringkat untuk bersama-sama dalam satu barisan.

“Oleh sebab itu saya menyeru diri saya dan pimpinan di peringkat nasional, negeri serta pimpinan bahagian-bahagian, ini ujian daripada Allah kepada kita. Pegang baik-baik ujian datang ini dan kita mesti istiqamah dan jangan lagi ada perbedaan pendapat di kalangan kita membawa kepada perpecahan.

“Rapatkan barisan, rapatkan saf kepimpinan… wujudkan wahdatul fiqh (penyatuan pemikiran) di kalangan kita, wujudkan wahdatul qulub (penyatuan hati) di kalangan kita, insya-Allah kita bergerak sederap dengan wahdatul amal di kalangan kita agar UMNO dan BN terus relevan bukan sahaja dalam kerajaan perpaduan ini tetapi insya-Allah di masa-masa akan datang.

“Supaya UMNO terus kukuh, utuh… dan kita berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat bersama-sama dengan rakan lain di dalam kerajaan perpaduan hari ini,” tambahnya.- UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.