Kerajaan Perpaduan Kesepakatan Demi Masa Depan Negara – Haryaty Hamdzah

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Ketua Wanita UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berpandangan pembentukan kerjasama Kerajaan Perpaduan perlu lebih holistik dan mencerminkan kesepakatan politik dalam sistem pentadbiran.

Ujar beliau, ianya perlu adil dan saksama sekali gus mendapat kesepakatan antara parti politik terlibat agar matlamat membina semula negara dapat direalisasikan.

“Saya mengharapkan Kerajaan Perpaduan ini meletakkan yang sebaik-baiknya pada pimpinan UMNO yang memikirkan ‘pro and conts’ untuk bergabung menjadi kerajaan.

“Pendekatan UMNO dengan Pakatan Harapan (PH) telah pun membentuk Kerajaan Perpaduan dan Wanita UMNO selepas ini boleh memikirkan dan memberikan pemahaman kepada parti.

“Paling penting pemimpin UMNO masih memikirkan akan umbi dan masa depan negara ke arah yang lebih baik lagi,” katanya ketika ditemui UMNO Online, di sini.

Seterusnya katanya lagi Kerajaan Perpaduan meletakkan kepimpinan UMNO mengikut pengalaman masing-masing.

“Kerajaan Perpaduan meletakkan kepimpinan tertinggi UMNO mengikut ‘hierarki’, pengalamannya kerana negara ini tidak boleh ketinggalan dengan negara-negara Asia yang lain,” katanya lagi.

Persoalannya, bagaimana hendak menggerakkan jentera parti selepas menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Dalam masa yang sama kata Haryaty lagi, paling penting hendak mengekalkan ahli UMNO agar tidak berpecah belah, masih bersatu dan mengekalkan solidariti agar parti ini terus kekal selepas pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ini.

“Sekurang-kurangnya Wanita UMNO di peringkat bahagian-bahagian tahu kenapa kerjasama ini perlu dibentuk dan apa yang perlu Wanita UMNO bahagian-bahagian akan lakukan.

“Wanita-wanita UMNO yang berada di bawah kemungkinan ada yang terkeliru dan melalui pendekatan seperti ini Ketua-ketua Wanita UMNO bahagian dapat mengatur pertemuan yang sama ke akar umbi supaya mereka faham dan jelas,” ujarnya lagi.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong menitahkan agar semua 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong untuk menyertai Kerajaan Perpaduan. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.