Ismail Sabri Rakam Rasa Syukur Perjanjian PETRONAS-ADNOC Dimuktamadkan, Kerjasama Erat Malaysia Dan UAE

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluahkan kesyukuran dengan sejarah baharu tercipta apabila PETRONAS Abu Dhabi Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh PETRONAS yang telah menandatangani perjanjian dengan Abu Dhabi National Oil Company (ADNOC).

Menurutnya yang juga Naib Presiden UMNO, perjanjian itu adalah untuk meneroka dan menilai Unconventional Onshore Block 1 meliputi kawasan konsesi seluas 2,000 kilometer persegi di wilayah Al Dhafra.

“Projek ini telah dirintis oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

“Baginda telah memulakan perbincangan awal dengan Presiden UAE, Yang Mulia Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan. Semasa lawatan rasmi saya ke Abu Dhabi September lalu, ADNOC telah memberikan taklimat mengenai kerjasamanya dengan PETRONAS untuk meneroka sektor minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui.

“Perkara ini juga telah dibincangkan dengan lebih mendalam ketika pertemuan empat mata di antara saya dan Yang Mulia Sheikh Mohamed. Baginda bersetuju supaya projek ini dipercepatkan. Alhamdulillah kerjasama ini telah dimuktamadkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ismail pada masa sama turut menjunjung kasih kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong kerana memainkan peranan penting dalam projek bersejarah ini.

“Tanpa hubungan yang erat antara Baginda dan Presiden UAE, projek ini tidak akan menjadi kenyataan,” katanya.

Beliau berkata sewaktu pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia, Malaysia dan UAE juga telah bersetuju untuk meningkatkan hubungan sedia ada kedua-dua negara kepada ‘Perkongsian Strategik’.

“Saya memberikan perhatian yang serius untuk memperkukuhkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan dan perdagangan, tenaga boleh diperbaharui, sekuriti makanan serta minyak dan gas.

“Perdagangan antara Malaysia dan UAE telah meningkat sebanyak 90.4 peratus untuk lapan bulan pertama 2022 iaitu AS$6.14 bilion (RM25.60 bilion), semoga hubungan erat di antara Malaysia dan UAE terus diperkukuhkan pada masa depan,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.