Wajib Akur Keputusan Parti, Tidak Pernah Tinggalkan Perjuangan UMNO – Armand Azha

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Senator Datuk Dr Armand Azha Abu Hanifah berpendapat bahawa wajib untuk akur kepada keputusan rasmi parti dan tidak akan pernah meninggalkan perjuangan UMNO.

Jelasnya melalui hantaran di laman Facebooknya, pemimpin seharusnya berani untuk memberikan pandangan atau cadangan sekiranya parti belum membuat apa-apa keputusan.

“Pendirian saya konsisten dan tidak pernah berubah. Sebagai pemimpin kita harus berani memberikan pandangan, cadangan dan sebagainya sebelum parti buat apa-apa keputusan.

“Tetapi, apabila parti telah membuat keputusan rasmi, maka wajib bagi saya untuk akur dan ikuti kerana ini adalah konsep kepartian,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang itu turut berkata, tiada istilah beliau meninggalkan mana-mana pemimpin berdasarkan kepada pendirian beliau dalam ketetapan parti.

“Tiada istilah saya tinggalkan sesiapa baik Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahupun Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana kedua-dua mereka pemimpin utama parti. Saya mengenali beliau sejak 2008 hingga kini dan beliau seorang pemimpin yang amat prihatin pada semua ahli parti, tidak kedekut ilmu serta nasihat.

“Saya mengenali Datuk Seri Zahid Hamidi sejak beliau menjadi Naib Presiden UMNO sehingga kini dan beliau seorang pemimpin yang penuh pengalaman politik serta tahu secara peribadi pendirian saya dalam ketetapan parti,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Armand Azha turut menekankan betapa pentingnya agenda perpaduan dan pendamaian dalam parti serta tidak akan mengkhianati perjuangan UMNO.

“Jika anda kaji sejak awal saya nyatakan pentingnya agenda perpaduan dan pendamaian dalam parti. Ini yang saya bawa sehingga ke hari ini.

“Sejak 7 Januari 1995 sehingga kini saya tidak pernah meninggalkan perjuangan parti apatah lagi mengkhianatinya. Im a partyman sejak dulu, kini dan Insya-Allah selamanya,” katanya lagi.

Berdasarkan Fasal 6 Perlembagaan UMNO (perkara 6.1.1), ahli UMNO bertanggungjawab untuk memegang teguh dasar parti dan melaksanakan tujuan-tujuannya.

Manakala pada perkara 6.1.4, ahli UMNO wajib menjalankan kerja-kerja parti dan mematuhi tataetika, perintah serta disiplin parti. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.