UMNO Bersolidariti… Beri Sokongan Pimpinan Kemudi Parti – Norliza

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Barisan kepimpinan dan ahli UMNO di setiap peringkat perlu bersolidariti serta memberikan sokongan kepada pemimpin parti untuk memastikan ‘bahtera’ dikemudi dengan sebaiknya.

Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 lalu dan segala kelemahan perlu diperbaiki bagi menjamin kelangsungan parti.

“Kita menerima keputusan yang dibuat oleh rakyat. Kita faham rakyat membuat pilihan mereka dan kita kena hormat serta istiqamah, apa kelemahan-kelemahan yang perlu kita perbaiki.

“Saya berpandangan di peringkat UMNO sendiri, kita perlu bersolidariti dan memberi sokongan kepada pemimpin kita supaya mereka dapat membawa bahtera kita ke arah yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya kepada UMNO Online selepas program Solidariti Bersama Presiden UMNO Dan Taklimat Isu Semasa, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Norliza turut berkata, segala penjelasan yang dilakukan oleh Setiausaha Agung (SUA) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika program Solidariti Bersama Presiden UMNO Dan Taklimat Isu Semasa sangat membantu para kepimpinan Wanita untuk menjelaskan situasi sebenar kepada akar umbi.

“Alhamdulilah, hari ini kita dapat penjelasan yang baik daripada SUA mengenai senario dan keputusan parti untuk bergabung di bawah Kerajaan Perpaduan. Dengan mesej yang begitu jelas, dapatlah Wanita-wanita pulang ke bahagian dan negeri masing-masing untuk memberi penjelasan kepada akar umbi supaya semuanya faham keputusan dibuat oleh parti.

“Kita kena ada strategic move dan saya sangat yakin Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memastikan bahawa parti UMNO/Barisan Nasional itu dapat dikemudikan ke jalan yang sebaiknya dan kita perlukan masa untuk revive and survive balik parti kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berpendapat bahawa survival parti perlu diberikan keutamaan pada masa ini dan pemimpin parti seharusnya dihormati supaya kerja mudah untuk dilaksanakan di kemudian hari.

“Survival parti adalah perkara yang harus kita beri keutamaan. Marilah kita bersama-sama bersolidariti. Itu sangat penting sebab perpaduan dalaman dan kita harus menghormati pemimpin supaya senang untuk kita buat kerja kemudiannya.

“Kita doakan bahawa Allah SWT merahmati perjuangan kita dan keputusan yang kita ambil ini supaya UMNO dapat muhasabah dan guna peluang ini untuk kita perbaiki kelemahan-kelemahan kita dan saya yakin kita dapat bangun semula di masa yang akan datang. Kita masih ada masa, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.