Persoalan Berkaitan Muhyiddin Dan RM600 Bilion

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Kenyataan Bekas Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad mengenai perbelanjaan RM600 bilion semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat dilihat samar-samar serta memilih-milih fakta yang diceritakan.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, Marzuki sendiri tidak tahu dari mana datangnya angka RM600 bilion tersebut sedangkan ianya diumumkan sendiri oleh Muhyiddin pada April 2021.

“Pertama, dia kata dia tidak tahu dari mana angka RM600 bilion itu datang. Angka itu datang dari Muhyiddin sendiri ketika beliau berucap di hadapan masyarakat Sikh Malaysia pada bulan April 2021 dan berkata kerajaan sudah tidak ada duit, kerajaan sudah belanja lebih RM600 bilion untuk ‘pakej-pakej rangsangan’.

“Persoalannya, ke manakah duit RM600 bilion ini pergi dan bagaimanakah ia dibelanjakan? Disebabkan jumlah ini teramat besar, adakah perbelanjaannya itu telus dan tanpa ketirisan?” katanya.

Menurutnya, bekas ketua setiausaha Muhyiddin itu turut menyenaraikan beberapa perbelanjaan namun jumlahnya masih berkurangan daripada angka sebenar.

“Bekas ketua setiausaha Muhyiddin itu berkata, RM447 bilion adalah dalam bentuk non-fiskal, iaitu bukan perbelanjaan kerajaan dan dia menyenaraikan perbelanjaan-perbelanjaan tersebut. Duit pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), RM145 bilion; duit pengurangan bayaran KWSP, RM10 bilion dan moratorium pinjaman bank, RM180 bilion.

“Jumlah tersebut adalah RM335 bilion. Oleh itu, mana pergi lagi RM265 bilion? Dia kata lagi ada perbelanjaan RM83 bilion yang kononnya disalurkan terus kepada rakyat termasuk RM18 bilion Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Prihatin Rakyat dan Subsidi Upah. Namun yang lain dia tidak senaraikan. Dia ambil contoh sahaja katanya. Tolak jumlah ini ada lagi RM182 bilion yang dia tidak cakap pergi ke mana,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Isham turut mempersoalkan bagaimana wang-wang tersebut dibelanjakan semasa darurat kerana tidak ada proses semak-imbang semasa Parlimen ditutup.

“…dan masalahnya bukan ini sahaja. Masalahnya adalah bagaimana wang-wang di atas dibelanjakan semasa darurat yang tidak ada semak-imbang dan semasa Parlimen ditutup?

“Contoh mudah ialah, saya dimaklumkan bahawa Bantuan Prihatin Rakyat/Nasional berbilion-bilion ringgit tersebut adalah termasuk pemberian bakul-bakul makanan. Persoalannya berapa orang yang dapat bakul makanan ini? Berapakah nilai makanan yang rakyat dapat dalam bakul ini berbanding harga yang dicaj kepada kerajaan? Siapa yang dapat kontrak-kontrak pembekalan bakul-bakul ini? Adakah ia dibuat secara rundingan terus kepada kroni dan berapa margin yang buat daripada berbilion-bilion dana ini?

“Persoalan-persoalan ini juga adalah sama berkenaan perolehan-perolehan kerajaan, kontrak-kontrak pembekalan barangan, peralatan dan perkhidmatan yang lain bernilai berbilion ringgit semasa darurat oleh pentadbiran Muhyiddin tanpa semak imbang serta semasa Parlimen digantung. Ini perlu diperincikan untuk semak-imbang dan tadbir urus yang telus,” katanya lagi.

Kata Isham lagi, perbelanjaan sebesar RM600 bilion ini perlu diperincikan untuk membendung gejala rasuah dan meningkatkan tadbir urus yang baik dalam kerajaan.

“Perbelanjaan sebesar ini tidak boleh disorok di bawah karpet dan berharap rakyat akan melupakannya. Jika kita serius untuk membendung rasuah dan meningkatkan tadbir urus yang baik dalam kerajaan, perbelanjaan RM600 bilion semasa darurat ini perlu dilihat dengan lebih terperinci. Saya dimaklumkan bahawa kelmarin satu laporan polis telah dibuat berkenaan hal ini.

“Kita tidak mahu sebahagian daripada wang berbilion tersebut digunakan oleh parti-parti politik tertentu berbelanja besar untuk pilihan raya yang lepas dan menang melalui merasuah pengundi. Jika mereka menang kerana mereka membayar pengundi dari duit yang diperoleh dari sumber-sumber haram seperti daripada komisyen atau rasuah kontrak-kontrak di atas, maka kemenangan mereka adalah tidak berkat kerana ia diperoleh dari sumber yang haram.

“Jika mereka kata mereka bersih, mereka perlu bersedia untuk disiasat dan diaudit berkenaan hal ini. Mereka perlu memberikan perincian berkenaan kesemua perbelanjaan RM600 bilion tersebut. Sebab itu saya bersetuju supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat perkara ini dan satu audit dijalankan segera untuk melihat perbelanjaan tersebut dengan lebih terperinci,” katanya lagi. – UMNO Online