Lontarkan Cadangan Untuk Tambah Baik Sistem Penyampaian, Urus Tadbir Kerajaan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri menyeru kepada rakyat khususnya pelayar maya agar dapat melontarkan cadangan yang bernas di platform media sosialnya.

Dalam satu hantaran di Facebook, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata pandangan yang diberikan akan diteliti untuk menambah baik sistem penyampaian dan urus tadbir kerajaan yang baik.

“Bismillah. Mohon doa semua sahabat dan seluruh rakyat Malaysia untuk kita membuat permulaan dan perubahan yang baru untuk Malaysia ini.

“Tinggalkan komen dan cadangan bernas yang boleh kita teliti untuk menambah baik sistem penyampaian awam dan urus tadbir kerajaan yang baik,” kata Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Hari ini, Ahmad Zahid memulakan tugas secara rasmi di Perdana Putra, Putrajaya.

Ahmad Zahid yang mengenakan sut serba hitam disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali sebaik tiba di perkarangan Kompleks Perdana Putra pada pukul 8 pagi.

Ahmad Zahid, 69, diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri serta memegang portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas.

Pada Sabtu lepas, Ahmad Zahid antara 27 jemaah kabinet mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Ahmad Zahid pada hari ini juga menghadiri mesyuarat khas jemaah menteri yang pertama dipengerusikan oleh Perdana Menteri. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.