Laksanakan Tugas Sebaiknya Untuk rakyat Dan Negara, Terus Pegang Prinsip Parti – Norshida

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berharap Kabinet baharu yang dibentuk dapat melaksanakan tugas dengan sebaiknya terutama menteri daripada Barisan Nasional (BN) agar terus menjadi pembawa suara dan ideologi parti yang mendukung perlembagaan negara demi menjaga hak rakyat.

Menerusi catatan di Facebook, beliau seterusnya berkata rakyat sentiasa memerhati dan sentiasa membuat pertimbangan sebaiknya maka sewajarnya jangan memandang mudah apa yang diharapkan oleh rakyat.

“Perdana Menteri yang ke-10 telah dilantik, pembentukan kerajaan telah dilakukan. Enam menteri daripada Barisan Nasional memegang amanah dan tanggungjawab berkhidmat buat negara. Harapan agar YB menteri masih berpegang teguh dengan aspirasi Barisan Nasional serta menjadi pembawa suara dan ideologi parti yang mendukung perlembagaan negara demi menjaga hak rakyat,” katanya.

Kata beliau lagi kepimpinan mempunyai kapasiti menterjemah visi menjadi realiti.

“Ahli akar umbi pastinya akan menerima dengan hati terbuka dan mendoakan kebaikan buat pemimpin, di kala itu mengharapkan jua impak positif dan kemajuan yang akan terlaksana. Besar harapan semua untuk melihat Malaysia menjadi negara yang berdaya saing dan menjadi tumpuan positif di persada antarabangsa.

“Semoga harapan hari ini tidak terkubur dengan kekecewaan pada masa akan datang, moga subur dengan kesyukuran dan ketenangan. Rakyat sentiasa memerhati dan menilai. Jangan dipandang enteng pada mata-mata dan suara rakyat,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.