Tekad Lonjakkan Sektor Pengajian Tinggi Negara Tahap Terbaik – Khaled

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi tekad untuk melonjakkan sektor pengajian tinggi negara ke tahap yang lebih baik.

Begitu juga kata Ahli Parlimen Kota Tinggi itu, ianya agar bermanfaat untuk semua rakyat di negara ini.

“Saya pohon doa dan kerjasama semua untuk menjayakan misi penting negara ini,” ujarnya dalam satu hantaran di media sosialnya.

Semalam, Khaled bersama 26 menteri lain termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, di sini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat pada istiadat itu.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Seterusnya dalam perkembangan yang sama, seusai majlis angkat sumpah jawatan itu, Khaled berkata bermulalah tanggungjawab dan amanah sebagai Menteri Pendidikan Tinggi, kementerian yang pernah beliau terajui dari 2008 hingga 2013. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.