Mohamad Berharap Kerjasama Wakil Pelbagai Parti Dapat Tangani Cabaran Mendatang

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dengan rasa rendah diri bersyukur atas pelantikannya sebagai Jemaah Menteri bagi Kerajaan Perpaduan.

Mohamad yang dilantik sebagai Menteri Pertahanan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberi beliau peluang berkhidmat dalam Kerajaan Perpaduan yang bersejarah ini.

“Saya yakin dan percaya akan terdapat pelbagai cabaran Kerajaan Perpaduan ini akibat kesan COVID’19 dan kemelesetan ekonomi dijangka pada tahun 2023.

“Semoga kerjasama semua wakil rakyat dari pelbagai parti dalam kerajaan ini, akan dapat menangani pelbagai cabaran mendatang,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu dalam satu catatan di Facebook.

Seterusnya, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau turut merakamkan terima kasih kepada semua pengundinya di kawasan itu khususnya yang memberikannya peluang untuk berkhidmat.

“Kepercayaan ini saya tidak akan ambil mudah dan akan melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan sebaiknya, Insya-Allah,” tekadnya.

Semalam, Mohamad dan juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bersama 25 menteri lain mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara, di sini.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat pada istiadat itu.

Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – UMNO ONLINE