Kaukus Ahli Parlimen Johor Pacu Pembangunan Negeri – Hasni

ISKANDAR PUTERI, 4 Dis – Kaukus melibatkan 24 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Johor mampu memacu pembangunan Johor menjadi sebuah negeri yang maju.

Pengerusi BN Johor Datuk Seri Hasni Mohammad berkata perbincangan mengenai penubuhan kaukus itu dijangka diadakan selepas majlis angkat sumpah Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada 19 Dis ini.

“Secara umum, Johor mempunyai banyak perkara perlu diusahakan dan diberi perhatian oleh kerajaan Persekutuan antaranya menaik taraf laluan lebuh raya, menarik pelabur ke Johor dan menambah baik kemudahan di pintu masuk antarabangsa di Johor membabitkan terminal feri.

“Dengan adanya kaukus ini, lebih banyak pembangunan dapat dibawa ke Johor sekali gus menjadi jambatan penting antara Ahli Parlimen Johor bagi mengutarakan isu penting membabitkan negeri,“ kata Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Terdahulu, Ketua Pembangkang Liew Chin Tong (DAP-Perling) ketika membahaskan Belanjawan 2023 pada persidangan itu mencadangkan kepada Hasni (BN-Benut) bahawa satu Kaukus Ahli-Ahli Parlimen Johor perlu ditubuhkan dengan penglibatan 24 Ahli Parlimen BN dan PH.

“Kaukus ini boleh dibantu oleh Kerajaan Negeri Johor melalui taklimat dan maklumat supaya semua Ahli Parlimen dimaklumkan secara terperinci keperluan dan permintaan negeri Johor kepada kerajaan Persekutuan.

“Mekanisme ini akan membolehkan Johor diberikan tumpuan dan keutamaan oleh Kerajaan Perpaduan Persekutuan demi pembangunan dan kemajuan Bangsa Johor dan menjayakan belanjawan ini,“ kata Liew yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN hanya meraih sembilan daripada 26 kerusi ditandingi di Johor iaitu Simpang Renggam, Parit Sulong, Ayer Hitam, Pontian, Kota Tinggi, Tenggara, Pengerang, Sembrong dan Tanjung Piai.

Sementara PH memenangi 14 kerusi, Perikatan Nasional (PN) dua kerusi dan Parti Ikatan Demokratik (MUDA) satu kerusi.

Persidangan DUN Johor bersambung esok. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.