Beza Kabinet Berasaskan Rundingan Dengan Yang Tak Hormati Hierarki, Kosmetik, Berniat Lemahkan Rakan Kongsi

KUALA LUMPUR, 3 Dis – Selesai episod yang mendebarkan negara apabila barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan telah diumumkan malam tadi.

Ujar Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, dengan jumlah 28 Menteri iaitu saiz yang agak kecil, semoga semua parti yang terlibat berpuas hati dengan pembahagian yang rumit tetapi melepasi politik tikam belakang.

“Tidak perlu jumlah Kabinet yang besar dan tidak perlu jawatan jaga hati seperti ‘special envoy’, bertaraf menteri atau menteri kanan. Itu semua kosmetik yang dibuat oleh Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri kelapan).

“Ini barisan Kabinet berasaskan rundingan, saling menghormati terutamanya hierarki parti. Reaksi awal majoriti Ketua Bahagian UMNO di grup /Whatsapp’ ialah “puas hati”.

“Ia jauh berbeza dengan cara Muhyiddin bila membentuk Kabinetnya. Tidak ada rundingan, tidak menghormati hierarki parti dan ada niat melemahkan rakan kongsi,” kata Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat itu lagi.

Jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu lagi, ia merupakan pengalaman pahit Barisan Nasional (BN) bersama Perikatan Nasional (PN).

“Baik semasa Muhyiddin tubuh Kabinet dan PRN (Pilihan Raya Negeri) Sabah. Tidak ada setiakawan. Calon BN dilawan oleh calon bebas yang ditaja oleh PN.

“Muhyiddin silap. Niat jahat itu makan diri. UMNO cuba dipecah melalui ‘divide and rule’. Wujud MP (Ahli Parlimen) UMNO pro PN dan MP UMNO setia parti. Akibatnya Muhyiddin hilang kuasa,” katanya.

Manakala kali ini pula tambahnya, apabila rundingan dibuat fokusnya ialah jangka hayat kerajaan ini mesti sampai habis penggal.

“Tidak akan ada tekan butang dan tidak ada tukar PM (Perdana Menteri) sampai tiga kali.

“UMNO yang kukuh menguntungkan Kabinet baru ini. Kerajaan yang stabil menguntungkan rakyat dan negara. Tidak salah kita mencuba pendekatan baru ini walau ada yang was-was,” katanya.

Ulasnya lagi, pengajaran juga kepada Ahli Parlimen BN yang tidak serik-serik cuba membelakangkan parti.

“Tidak ada yang tersenarai. Sebelum ini ada yang tidak dicalonkan. Bersetiakawanlah.

“Walau dimomokkan dengan persepsi ‘kluster mahkamah’, menjadi tanggungjawab Kerajaan Perpaduan ini membuktikan ia jujur anti rasuah dan bekerjasama atas prinsip ‘trust’. Teruskan,” kata Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu lagi. – UMNO ONLINE