Kerajaan Perpaduan Untuk Kepentingan, Kesejahteraan Rakyat – Dr Shafei

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah mengharapkan agar seluruh ahli UMNO dapat memperbaiki parti untuk terus relevan setelah melalui Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Dalam hal ini beliau juga mengajak ahli-ahli UMNO agar bersama-sama Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akur perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

“Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan pendirian secara keseluruhannya dan akur kepada arahan YDPA untuk menubuhkan kerajaan perpaduan.

“Penubuhan kerajaan perpaduan ini adalah untuk kepentingan rakyat jelata dan UMNO sedar bahawa kita tidak mampu menangguhkan lagi. Sudah pasti dari segi ekonomi negara akan kehilangan jumlah kewangan yang cukup besar dan ekonomi akan terus merudum,” katanya kepada UMNO Online. 

Jelas Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju itu, penubuhkan kerajaan perpaduan adalah demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut menyatakan himpunan solidariti yang diadakan pada Khamis lalu menunjukkan ramai Ketua UMNO bahagian menyokong Presiden.

“90 orang Ketua UMNO Bahagian hadir bersama meskipun ada lagi 40 orang yang tidak dapat hadir untuk menunjukkan sokongan mereka dan jumlah keseluruhannya sebanyak 130 orang.

“Kesemuanya telah bersetuju dan berikrar menyokong Presiden UMNO serta memberi mandat bagi meneruskan perjuangan ini agar UMNO terus mantap dimata rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.