Belanjawan Surplus, Kerajaan Negeri Kompeten Jayakan ‘Aspirasi Maju Johor’ – Manndzri

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Belanjawan Johor 2023 yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menunjukkan betapa serius dan kompetennya kerajaan negeri dalam menjayakan Aspirasi Maju Johor.

Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, belanjawan tersebut mencakupi segenap fokus dan menyentuh pelbagai dimensi keperluan rakyat.

“Alhamdulillah, meneliti pembentangan Belanjawan Johor 2023 yang dibentang oleh Menteri Besar Johor sebentar tadi (semalam) membayangkan betapa serius dan kompeten pasukan Johor dalam menjayakan Aspirasi Maju Johor yang diratibkan sebagai mantera untuk kemajuan negeri, kesejahteraan rakyat serta bangsa Johor.

“Belanjawan surplus ini mencakupi segenap fokus dan holistik menyentuh pelbagai dimensi keperluan rakyat dan ‘psychografic’ masyarakat golongan pertengahan, rendah, wanita, orang muda, segmen komuniti rentan yang memerlukan serta minoriti,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya

Jelasnya, antara yang menarik perhatian adalah titik-titik komitmen yang dizahirkan melalui Belanjawan Johor 2023 ini memberi kesan langsung kepada masyarakat dalam Parlimen Tenggara dan refleks kepada beberapa fokus beliau ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Antaranya;

1. Komitmen kurniaan tanah kepada generasi kedua FELDA melihatkan 3,561 permohonan dan Kerajaan Negeri menyasarkan sehingga 4,000 sasaran penetapan lot melibatkan 15 tanah rancangan FELDA. Di Tenggara; FELDA Pengeli Timur, Sungai Sibol dan Linggiu masih dalam proses permohonan dan diharapkan menjadi antara tiga dari 15 tanah rancangan FELDA yg diplot oleh sasaran Belanjawan ini;

2. Berkaitan pendidikan termasuk keluasan akses internet, apabila belanjawan ini meletak Pendigitalan Sekolah Agama, inisiatif akses wifi yang menyeluruh ke 140 buah sekolah agama sedia ada akan memberi faedah kepada 190 ribu pelajar. Di Tenggara juga terdapat sejumlah sekolah agama dan generasi kami memang memerlukan akses berkenaan untuk mempertingkat keboleh-upayaan kecemerlangan pendidikan;

3. Menjadi impian Tenggara agar Industrial Estate di Bandar Tenggara diperkasakan dengan sekurang kurangnya penambahan sebuah industri bersaiz Hokuden (M) Sdn Bhd agar mampu menyediakan peluang kepada bukan sahaja warga Tenggara tetapi melimpah untuk rakyat dari Parlimen Sembrong, Kluang, Simpang Renggam, Kulai, Kota Tinggi dan Tebrau. Ia juga akan mampu menambah kehebatan hiliran kepada penduduk Bandar Tenggara melalui peluang niaga dan perkhidmatan. Belanjawan ini menetapkan aspek pemerkasaan dan pengkorporatan invest Johor. Sebagai Ahli Parlimen Tenggara, saya merayu agar ikhtiar ini memandang juga pemerkasaan Industrial Estate Tenggara;

4. Pemerkasaan Latihan Kemahiran Johor termasuk Dana RM500,000 untuk memperkasa Kolej YPJ juga akan memberi kesan langsung kepada kawasan Tenggara dan bakal menyaksikan kerancakan sekitar kawasan Hub Skill Johor di Ladang YPJ. Ia juga berpotensi meningkat peluang hiliran kepada penduduk Tenggara;

5. Fokus Belanjawan ini juga yang menyentuh aspek Pertanian dan sebahagiannya hasrat memperkasa pemodenan sektor pertanian juga akan memberi faedah kepada rakyat di Tenggara. Menerusi kempen PRU ke-15, saya menyentuh tentang pertanian sebagai potensi sumber yang wajar dimanfaat oleh orang muda Tenggara memandangkan geografi Tenggara yang terhidang sebagai ‘lombong’ pertanian termasuk Pusat Agro Tani di Sisek yang boleh dimanfaat. Begitu juga jajaran tanah sesuai tani yang terbentang dari Sungai Telur ke lingkaran rancangan FELDA dalam gugusan Pasir Raja ke Pengeli Timur ke Linggiu hinggalah ke Kampung Kelantan. Pertanian mampu menyumbang kepada kesejahteraan dan Belanjawan ini menjurus ke arah itu;

6. Pemerkasaan Wanita juga dilihat dalam ‘movement’ yang amat tepat berdasarkan Belanjawan ini yang saya kira akan meletak Johor sebagai antara negeri yang mengutamakan pemerkasaan wanita dan masyarakat di Tenggara bakal mengambil manfaat dari titik sentuhan Belanjawan ini dalam aspek pemerkasaan Wanita ini; dan

7. Akhirnya adalah berkaitan dengan Orang Muda Johor (OMJ) yang akan dibina, dibangun dan dihakupayakan. Orang muda Tenggara juga menyambut baik inisiatif yang digariskan. Sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara dan mantan Presiden Majlis Belia Negeri Johor, saya hanya mampu menyimpulkan bahawa Johor akan mendahului agenda pembangunan orang muda dan bakat di negara kita.

Dalam pada itu, beliau merakamkan ucapan syabas kepada Pasukan Kerajaan Johor di atas usaha untuk memperkuatkan negeri dan yakin ianya akan disahut oleh Bangsa Johor seluruhnya.

“Pada keseluruhan Belanjawan yang holistik ini, saya sebagai Ahli Parlimen Tenggara merakamkan syabas kepada Pasukan Kerajaan Johor dan tahniah khusus kepada YAB Menteri Besar Johor yang telah berusaha keras untuk memulih dan memperkuat Negeri Johor.

“Melalui pencapaian setakat ini dan perancangan-perancangan yang telah dizahirkan, kami amat yakin dan percaya iltizam yang disahut utuh oleh Bangsa Johor seluruhnya menjadi resepi utama kepada kejayaan Belanjawan ini. Insya-Allah.

“Kepada seluruh Bangsa Johor, marilah kita bersama Kerajaan Negeri menjaya dan memacu agenda Maju Johor melalui Belanjawan ini dengan sepenuh hati demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.