Belanjawan Johor 2023 Bukti Kerajaan Tadbiran BN Komited, Bertanggungjawab Terhadap Rakyat

JOHOR BAHRU, 2 Dis – Kerajaan negeri Johor semalam telah membentangkan Belanjawan Johor 2023 yang bertemakan “Maju Johor: Makmur Bersama Rakyat”.

Dalam hal ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata Belanjawan Negeri Johor yang dibentangkan oleh menteri besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi mencerminkan kerajaan yang sentiasa cakna dengan keutamaan negeri dan juga keprihatinan kepada rakyat.

“Alhamdulillah, tahniah kepada menteri besar Johor dan barisan kepimpinannya yang telah memperincikan pelbagai inisiatif dalam Belanjawan Johor 2023 dengan keyakinan untuk mengurangkan impak ekonomi global serta memastikan sasaran pertumbuhan dapat dipacu dalam usaha mempertingkatkan kesejahteraan Bangsa Johor,” katanya.

Ujar beliau, ini adalah bukti perancangan jelas sebuah kerajaan tadbiran Barisan Nasional (BN) yang komited dan bertanggungjawab terhadap keseluruhan iaitu bukan hanya kemajuan fizikal tetapi juga kepentingan khalayak turut diambil kira.

“Apa yang penting adalah kesiapsiagaan kerajaan yang menyediakan perancangan ekonomi mampan, berdaya tahan serta memiliki simpanan yang mencukupi bagi menghadapi pelbagai cabaran mendatang.

“Ini adalah bukti bahawa Kerajaan Johor bersedia dengan memastikan ekonomi domestik terus menjadi penggerak apabila kita dijangka menghadapi kemelesetan ekonomi global.

“Secara keseluruhannya ia adalah belanjawan yang meliputi rakyat pada semua lapisan.”

Dalam hal berlainan Sharifah Azizah turut sepakat dengan Kerajaan Negeri Johor yang menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah berserta Majlis Raja-raja yang telah dengan hemah dan bijaksana, menyelesaikan kemelut pemilihan kepimpinan negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-15.


“Sebagai rakyat tentunya kita mahukan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara malah langkah tersebut tentunya akan dapat menyumbang kepada usaha mewujudkan kestabilan politik malah lebih penting kepada kelestarian negara dan rakyat keseluruhan.”

Semalam, dalam ucapannya, Onn Hafiz yang membentangkan Belanjawan Johor 2023 buat kali pertama, turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesepuluh dan memohon semua pihak untuk sama-sama berganding bahu dan mengembleng tenaga bagi mencorakkan masa depan Johor yang lebih gemilang. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.