Solidariti UMNO… Penjelasan Dan Dialog Terbuka Bersama Wanita UMNO

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan merakamkan setinggi ucapan terima kasih kepada semua kepimpinan Wanita UMNO yang terlibat dalam menjayakan program Solidariti Bersama Presiden UMNO Dan Taklimat Isu Semasa, hari ini.

Jelasnya, program tersebut diadakan untuk memberikan penjelasan secara terbuka kepada pimpinan Wanita UMNO khususnya Exco-Exco dan Ketua-Ketua Wanita Bahagian disertai dialog terbuka bagi memberikan pencerahan mengenai isu-isu tertentu.

“Pertama saya merakamkan ucapan terima kasih kepada kepimpinan wanita, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan semua yang terlibat.

“Saya telah memberikan penjelasan dan mengadakan sesi dialog terbuka untuk berbincang mengenai isu-isu semasa terutamanya berkaitan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT),” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian itu turut menjelaskan bahawa keputusan MKT terhadap 30 orang Ahli Parlimen UMNO/Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Perpaduan adalah terpakai.

“Keputusan MKT UMNO untuk 30 orang Ahli Parlimen UMNO/BN menyertai Kerajaan Perpaduan atau Unity Government dan saya juga menjelaskan bahawa jika tiada keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) maka keputusan MKT adalah terpakai.

“Itu yang diputuskan pada 23 November 2022 dan keputusan tersebut adalah muktamad,” katanya lagi.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.

BN pada mulanya membuat keputusan untuk menjadi pembangkang, kemudian berkecuali dan akhirnya menyerahkan 30 kerusi untuk pertimbangan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya seperti mana turut diputuskan oleh GPS dan GRS. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.