Kerajaan Pahang Tekad Teruskan Rekod Perkhidmatan, Ketepikan Ego Untuk Rakyat

ROMPIN, 1 Dis – UMNO/Barisan Nasional (BN) akan terus mengekalkan rekod perkhidmatan mereka kepada rakyat dan sanggup mengenepikan ego bagi menubuhkan kerajaan di negeri Pahang bersama Pakatan Harapan (PH).

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerjasama yang dilakukan bersama PH adalah tidak lain dan tidak bukan bagi meneruskan agenda kerajaan negeri untuk kebajikan rakyat.

Track record BN adalah bekerja untuk rakyat. Kita ketepikan ego dan bertolak ansur kerana mengutamakan rakyat. Kalau kita tidak bersama PH, tidak mungkin kita boleh tubuhkan kerajaan negeri Pahang pada hari ini.

“Saya sangat berterima kasih kepada rakan sejawat saya, Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari kerana beliau bercakap dengan saya ‘Tok Wan, kita tubuh kerajaan. PH sanggup bersama BN supaya kerajaan Negeri Pahang dapat meneruskan agenda untuk rakyat’,” katanya ketika berucap di Ceramah Umum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman di sini, semalam.

Jelasnya, Pengerusi PH Pahang itu telah bersetuju untuk bekerjasama bagi menubuhkan kerajaan demi menjaga kepentingan rakyat di negeri itu dengan tanpa syarat.

“Pengerusi PH Pahang telah menghubungi saya, beliau mengatakan Tok Wan, PH sedia bekerjasama tanpa syarat bagi tujuan menubuhkan kerajaan demi kestabilan dan kemakmuran.

“Bagi saya dan Pengerusi PH Pahang, kami mempunyai pendirian yang sama iaitu keamanan, kestabilan, kemakmuran dan kena tubuh kerajaan demi rakyat. Itu yang kita pentingkan.

“PH dengan PN tidak mungkin akan tubuh kerajaan dan kita (BN) ingin kerajaan ditubuhkan segera untuk rakyat. Kalau kita tidak ada pendirian, sampai bila pun kerajaan di Pahang ini tidak boleh ditubuhkan. Rakyat yang rugi dan kita nak buat kerja untuk kesinambungan kita, untuk kemakmuran di negeri Pahang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi BN Pahang itu turut menyeru para pengundi untuk memilih calon BN bagi meneruskan agenda pembangunan di negeri Pahang.

“Permintaan saya, tuan-tuan kena undi calon BN. Kalau undi calon BN daripada Tioman bermakna tuan-tuan dan puan-puan mengundi kerajaan negeri yang telah pun ditubuhkan. Kerajaan negeri yang ditubuhkan pada hari ini adalah selari dengan kerajaan pusat.

“Kita di Pahang ini banyak lagi agenda. Kita nak buat lapangan terbang antarabangsa Kuantan. Kalau tiada apa-apa, Insya-Allah 2026 ataupun selepas itu (sebelum dibubarkan) saya telah mengarahkan supaya MRL jangan sahaja mati di Kuantan, hendaklah diteruskan di Pekan dan Rompin. Kalau dah pusat sama dengan kita, saya fikir perkara-perkara ini tiada masalah untuk kesejahteraan dan kebaikan kita juga,” katanya lagi.

Keputusan PRU ke-15 DUN Negeri Pahang memperlihatkan Perikatan Nasional (PN) memperoleh 17 kerusi, BN 16 dan PH lapan kerusi.

Manakala baki lagi satu kerusi iaitu Kerusi DUN Tioman ditangguhkan susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli yang meninggal dunia pada hari pengundian ketika menerima rawatan di Hospital Rompin. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.