BN Dalam Kerajaan Perpaduan Berasaskan ‘Trust’, Muhyiddin Mahu Bunuh UMNO – Dr Puad

KUALA LUMPUR, 1 Dis – Penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam kerajaan perpaduan adalah berasaskan ‘trust’, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, menjelaskan sebaliknya bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima sokongan BN dalam kerajaannya dengan niat dendam dan mahu membunuh UMNO.

“Sebab itu Muhyiddin boleh jadi Perdana Menteri (PM) selama 17 bulan sahaja. Silap sendiri, ‘scheme of things’ pentadbirannya gagal dan tiada berkat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu beliau turut mempertikaikan Ketua Penerangan PPBM, Wan Saiful Wan Jan yang bangga Perikatan Nasional (PN) berprinsip kerana sanggup jadi pembangkang.  

“Ternyata beliau silap, akta anti lompat parti akan menyelamatkan PN. Tanpa akta itu, ramai ahli Parlimen (MP) partinya akan lompat parti.

“Apatah lagi ramai ahli Parlimen PN adalah bekas pelompat parti. Sepatutnya partinya harus berterima kasih kepada BN. Akta itu digubal dan diluluskan semasa pemimpin BN yang menjadi Perdana Menteri,” jelas beliau.

Tegasnya, ini bukti yang jelas PN tidak dapat menghalang GRS dari menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, padahal beberapa ahli Parlimen GRS adalah ahli Bersatu yang menganggotai PN. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.