Jemaah Menteri Terlalu Kecil Beri Kuasa Terlalu Besar Pada Menteri, Kata Isham

PETALING JAYA, 30 Nov – Ketua Penerangan Umno Isham Jalil bimbang saiz Jemaah Menteri yang terlalu kecil akan memberi bidang kuasa terlalu besar kepada menteri susulan penggabungan kementerian.

Justeru, beliau mencadangkan saiz Jemaah Menteri dikurangkan kepada 28 menteri, berbanding 31 sebelum ini.

“Dalam undang-undang kita, ada perkara yang dipanggil perundangan sekunder dan perundangan perwakilan di mana kita gubal akta di Parlimen untuk perundangan utama tapi ia tidak terperinci. Jadi banyak kuasa diserah kepada menteri atas budi bicaranya pada perundangan sekunder dan perwakilan.

“Kalau kita banyak sangat bidang kuasa letak pada satu menteri ekoran penggabungan kementerian, maka semak dan imbang itu tidak efisien dan menteri itu akan terbeban,” kata Isham, menurut Astro Awani.

Isham ketika mengulas lanjut berkata, disebabkan saiz Jemaah Menteri yang tidak boleh terlalu kecil, ia tidak membawa manfaat yang begitu besar kepada penjimatan kos. Ini kerana walaupun bilangan menteri dikurangkan, jumlah kakitangan awam dan aset kerajaan tetap sama.

“Mungkin wang untuk menggaji menteri dapat dijimatkan, tapi kalau hanya seorang dua menteri dikurangkan dan gaji setiap menteri sekitar RM50,000, mungkin ia tidak begitu signifikan,” katanya. – FMT

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.