Kerajaan Perpaduan: UMNO Junjung Kebijaksanaan Agong, Selesaikan Kemelut Politik Negara Pasca PRU15

KUALA LUMPUR, 30 Nov – UMNO sentiasa menjunjung institusi di-Raja seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan UMNO pada perkara 3.3 sejak ianya mula ditubuhkan.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakob berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) akan tetap menjunjung segala titah daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) meskipun terpaksa mengenepikan segala prinsip yang telah dibina.

“Perlembagaan UMNO, Perkara 3.3 jelas menunjukkan bahawa UMNO menjunjung institusi di-Raja. Itu daripada dahulu lagi, sejak UMNO ditubuhkan dan perlembagaan tersebut dicipta. Jadi, UMNO dengan Raja tidak boleh lari. Kita akan tetap menjunjung segala titah perintah daripada istana.

“Veteran UMNO juga ingin mengucapkan terima kasih di atas kebijaksanaan YDPA untuk menyelesaikan kemelut lima hari tersebut. Disinilah pentingnya institusi di-Raja dalam negara kita, apabila kita menghadapi masalah seperti selepas PRU ke-15 ini,” katanya ketika sesi wawancara secara langsung di Facebook UMNO Online.

Jelasnya, titah baginda untuk menyatukan BN dan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan terhasil daripada keangkuhan Perikatan Nasional (PN) menolak cadangan YDPA untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Ketika parlimen tergantung, maka disitulah datangnya peranan YDPA dengan segala kebijaksanaannya setelah PN mentah-mentah menolak cadangan YDPA kali pertama.

“Pada mulanya, YDPA memanggil PN dengan PH. PN dengan jelas dan angkuhnya menolak kerjasama dengan PH. Kalau PN dan PH setuju untuk bekerjasama dahulu, selesai kita sebab kita telah membuat keputusan untuk menjadi pembangkang. No PH, no PN,” katanya lagi.

Menurut Mustapha lagi, BN tidak mempunyai pilihan lain daripada menurut titah YDPA untuk menamatkan kemelut politik yang telah mengakibatkan kerajaan tidak dapat ditubuhkan.

“Disebabkan kesombongan dan keangkuhan PN maka we have no choice kerana kita memikirkan titah YDPA tersebut. Mati hidup kita (UMNO) pun dengan Raja-Raja dan Sultan.

“Jadi, apabila kita dititahkan untuk bersama, what choice do we have? Kita nak jaga rakyat. Kalau kerajaan tidak boleh ditubuhkan, apa yang akan jadi kepada negara kita? Bajet kita belum diluluskan. Kakitangan kerajaan nak makan apa?

“Dengan kebijaksanaan Agong dan juga kepatuhan barisan kepimpinan BN yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi maka keputusan telah dapat dicapai dan terhasillah Kerajaan Perpaduan hari ini,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.