DUN Tioman: Calon BN Bertemu Calon PH, Bincang Strategi Kempen

ROMPIN, 30 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman Datuk Seri Mohd Johari Hussain berkata beliau akan bertemu calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Fadzli Mohd Ramly dalam masa terdekat untuk membincangkan gerak kerja dan strategi kempen.

Beliau berkata ini susulan parti Amanah semalam bersetuju calonnya yang mewakili PH memberi laluan kepada BN bagi kerusi DUN Tioman.

“Saya sekarang di peringkat awal perbincangan bersama dengan wakil-wakil tersebut (PH) bagi kita merangka strategi gabungan yang terbaik sebelum melangkah ke peringkat lebih jauh.

“Ini juga adalah bagi memastikan kelancaran dalam kita berkempen kerana ini satu perkara yang bagi saya agak luar biasa berlaku di Pahang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bersama penduduk di Kampung Jawa Pantai di sini semalam.

Mohd Johari juga berharap jentera kedua-dua parti dapat bekerjasama dengan baik dalam meraih sokongan pengundi berdasarkan perkembangan semasa yang menyaksikan gandingan BN dan PH untuk membentuk Kerajaan Negeri Pahang.

Setiausaha Agung Amanah Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dalam satu kenyataan semalam berkata keputusan memberikan laluan itu sebagai tanda kesepakatan serta memperkukuh kerajaan perpaduan di peringkat negeri Pahang dan nasional.

Dalam pilihan raya itu, Mohd Johari sepatutnya berhadapan saingan lima penjuru melibatkan Mohd Fadzli, Nor Idayu Hashim (Perikatan Nasional), Osman A Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas). – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.