Pasca PRU15: Kenal Pasti Dan Tambah Baik Kekurangan… Persediaan UMNO Hadapi Cabaran

KUALA LUMPUR, 29 Nov – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu mengenal pasti dan mengubah suai segala kekurangan yang dimiliki bagi menghadapi pelbagai cabaran terutamanya pertambahan pengundi muda pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 kelak.

Pengarah Komunikasi Strategik Sekretariat NGO Pemuda UMNO Malaysia, Mohd Nazrin Faiz berkata, usaha tersebut penting untuk dilakukan bagi memastikan kesediaan parti dalam tempoh lima tahun lagi.

“Saya rasa kita perlu akui bahawa kita tidak mendapat sokongan yang mencukupi untuk membentuk kerajaan tetapi saya lihat hari ini tuhan masih memberikan kita ruang bersama-sama dalam kerajaan.

“Ini adalah satu ruang untuk kita muhasabah segala kekurangan yang kita ada. Kalau kata rakyat mahukan calon anak muda, kita dah beri. Tetapi kenapa kita masih lagi ditolak terutamanya sangat ketara di Pantai Timur?

“Ini adalah satu usaha yang penting kita mulakan daripada sekarang untuk memastikan pelapis pelbagai segmen… Kalau kita tidak bermula pada hari ini, kita takut dalam tempoh lima tahun lagi kita tidak cukup bersedia,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut Mohd Nazrin, proses rejuvenasi UMNO perlu bermula dalam tempoh yang terdekat di samping merealisasikan pelbagai idea malar segar untuk muncul kuat semula.

“Jadi saya lihat ini proses rejuvenasi UMNO kena bermula hari ini dan kalau perlu kita buat apa jua cara untuk kita kenal pasti apa kelemahan kita. Keduanya, saya suka untuk kita realisasikan keberadaan empat orang muda berumur 30 tahun ke bawah tertakluk kepada perlembagaan parti untuk dijadikan Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Bahagian. Ini juga mampu untuk membawa kepada idea yang fresh dan selari dengan apa anak muda inginkan.

“Sekiranya kita mahu step-up again dalam PRU ke-16 ataupun Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, kita perlu bermula hari ini. Let bygones be bygones, kita kena ubah suai cara kita menyantuni masyarakat dan kenal pasti apa kekurangan kita,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Nazrin turut berharap agar suara anak muda tidak dipinggirkan dan bersama dengan kerajaan serta parti dalam mendepani anak muda pada PRU ke-16.

“Anak muda perlu diberikan lebih banyak peluang dan saya harap keberadaan kita dalam kerajaan ini, suara anak muda tidak dipinggirkan. Terutamanya apabila kita memperjuangkan kuota anak muda sebagai Senator di Dewan Negara.

“Ini juga akan membawa kepada proses rejuvenasi. Anak muda boleh bersama dengan kerajaan menyuarakan apa mereka mahu dan dalam parti sendiri pun, kita dapat kenal pasti apakah yang boleh kita tambah baik terutamanya dalam kita menghadapi cabaran-cabaran makin besar terutamanya komposisi anak muda yang bertambah dalam PRU ke-16,” katanya lagi.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.