Kerjasama BN-PH Di Perak Dan Pahang Bawa Prinsip Kestabilan, Kesejahteraan – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 29 Okt – Kerjasama Barisan Nasional (BN) – Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk kerajaan di Perak dan Pahang adalah berdasarkan prinsip untuk membawa kestabilan kepada kerajaan negeri serta memastikan kesejahteraan rakyat.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kini adalah masa untuk bekerja dan memastikan segala aspek urusan pembangunan diberikan perhatian sebagai jalan bergerak ke hadapan.

“Kerjasama yang dibina oleh BN Perak dan Pahang juga memancarkan realiti masyarakat berbilang kaum serta meraikan kepelbagaian sesuai dengan demografi negeri yang merupakan asas kepada pembentukan kerjasama strategik.

“Kerjasama antara blok adalah pilihan dan pendekatan baharu ini akan menjadi perintis kepada perpaduan serta keharmonian kerajaan agar fokus pembangunan dapat diteruskan. Keterbukaan ini mencerminkan bahawa BN-PH merintis jalan baharu untuk membawa politik centrik, jalan kesederhanaan dan matang,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Pengerusi BN itu turut berkata, ini selari dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Kesemua ini selari dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan kini ia dibentuk kerajaan campuran selepas Perikatan Nasional (PN) menolak menyertainya. Namun, semangat perpaduan tetap menjadi inti atau teras utama kerajaan ini.

“Kerjasama strategik ini tidak mengabaikan prinsip UMNO. Perlu difahami bahawa prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, Dap dan PPBM adalah untuk berdepan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan bukannya pasca pilihan raya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menyeru semua pihak untuk merapatkan barisan bagi membersihkan segala kotoran yang telah dilemparkan kepada UMNO bagi memastikan laman politik tidak kotor luar dan dalam.

“Kesinambungan politik ini tidak akan menghilangkan identiti UMNO yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa. Sesuai dengan perkembangan ia perlu cakna dengan perubahan semasa, dinamik dan dilihat inklusif.

“UMNO tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap moderate, sederhana, centrik dan progresif dalam menangani perubahan. UMNO juga menolak parti politik menggunakan agama untuk berpolitik, sebaliknya UMNO secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi. – UMNO Online