Wan Rosdy Angkat Sumpah MB Pahang Untuk Penggal Kedua

KUANTAN, 28 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sekali lagi diberi mandat menerajui pentadbiran kerajaan negeri Pahang apabila dipilih sebagai Menteri Besar buat penggal kedua.

Pelantikan Wan Rosdy, 64, susulan perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut berkenan pembentukan kerajaan negeri daripada BN dan Pakatan Harapan (PH) setelah tiada parti yang memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 Nov lepas.

Majlis pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar diadakan hari ini di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan.

Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, kurang satu berbanding Perikatan Nasional (PN) manakala PH memperoleh lapan kerusi, manakala proses pengundian DUN Tioman akan berlangsung pada 7 Dis ini.

Proses pengundian itu ditangguhkan ekoran kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian dipercayai akibat serangan jantung. Bagaimanapun keputusan pilihan raya itu tidak akan mengubah ketiadaan majoriti mana-mana pihak.

Pada PRU15, Wan Rosdy yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Cameron Highlands berjaya mempertahankan kerusi DUN Jelai buat penggal kelima dengan majoriti 6,983 undi.

Dilahirkan pada 1 Okt 1958 di Kampung Tanjung Gahai, Kuala Lipis, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Clifford dan Sekolah Menengah Clifford, kedua-duanya di Kuala Lipis sebelum berpindah ke Sekolah Menengah Mahmud di Raub.

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian dalam bidang Diploma Pengajian Perdagangan di Institut Teknologi Mara (ITM) (kini Universiti Teknologi Mara) sebelum meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan Pengkhususan Sains Politik di Universiti Sains Malaysia (USM).

Wan Rosdy memulakan kerjayanya sebagai Penolong Ketua Pegawai Lembaga Padi Negara di Perak dengan jawatan terakhir yang disandang sebelum menyertai politik ialah Pengurus Kanan (Wilayah Pusat), Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) pada 2003.

Beliau yang bertanding pilihan raya buat kali pertama pada 2004 telah dilantik sebagai Menteri Besar Pahang pada 15 Mei 2018 bagi menggantikan Tan Sri Adnan Yaakob.

Sebelum itu, Wan Rosdy turut menganggotai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dari 2008 hingga 2018 iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan luar bandar dan Hal Ehwal Orang Asli.

Antara pencapaian pentadbiran Wan Rosdy dalam penggal pertamanya ialah berjaya meningkatkan kutipan hasil negeri melebihi RM1 bilion buat kali pertama, selain menarik pelaburan sebanyak RM20.56 bilion setakat 30 Sept lepas dan mengurangkan hutang daripada RM3.31 bilion kepada RM952.21 juta.

Wan Rosdy mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Burhah Mohammed dan dikurniakan tiga cahaya mata.

Antara darjah kebesaran yang pernah diterima beliau adalah Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri Utama’ pada 2021 dan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) dengan gelaran Datuk Seri pada 2014. – BERNAMA