UMNO Mesti Diberi Keutamaan… Jangan Mudah Terpedaya, Terpengaruh Hasutan – Ahmad Jazlan

 

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menekankan bahawa UMNO mesti diberi keutamaan iaitu jangan mudah terpedaya atau  terpengaruh dengan hasutan-hasutan dari luar yang pelbagai dakwaan. 

Katanya, jika bercakap tentang soal UMNO perlu bangkit, maka sudah tentu UMNO perlu melakukannya namun daripada strategi manakah yang perlu dilaksana.

Dalam hal ini, beliau mengajak anggota parti kembali bersatu dan mempertahankan organisasi Presiden UMNO. 

“Sudah tentu orang yang tidak suka akan mengeluarkan pelbagai tuduhan dan tohmahan tetapi yang jelas Presiden UMNO mempunyai sifat pemimpin yang cukup matang, bersabar, istiqamah dan sentiasa melihat ke hadapan kepentingan parti bukan individu.

“Kalau bercakap tentang soal UMNO perlu bangkit, maka sudah tentu UMNO perlu bangkit tetapi langkah manakah yang perlu pilih untuk bangkit?

“Kalau memilih jalan yang salah sudah tentu UMNO akan dikuburkan atau dimatikan secara perlahan-lahan. Inilah yang menuntut kepada kebijaksanaan pemimpin walaupun dikecam,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Beliau berkata demikian berikutan terdapat gesaan segelintir pihak yang mahukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk bertanggungjawab atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dan meletak jawatan. 

Soal Ahmad Jazlan, mana yang lebih baik untuk beliau bagi menyelamatkan parti?

“Apakah musibah di hadapan? Sudah tentu beliau seorang yang berpengalaman dan boleh menjangkakan jalan mana yang harus dipilih.”

Tegas Ahmad Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang, beliau  yakin dan percaya suatu hari nanti kebenaran yang dibawa oleh Presiden UMNO ini akan terbukti jelas bahawasanya apa yang dilakukan hari ini adalah untuk parti.

“UMNO mesti diberi keutamaan dan tidak boleh mati. Untuk menghidupkan parti ini yang dalam keadaan sakit, tenat selepas PRU sudah tentu dugaan dan cabaran akan dilalui oleh pemimpin di negeri, bahagian dan akar umbi yang akan bersetia dengan Presiden UMNO.

“Kalau bersetia pada luaran tetapi di dalamnya memang mempunyai kepentingan diri, sudah tentu tidak akan bertahan lama. Kita dapat lihat beberapa pemimpin yang kononnya bersetia pada Presiden UMNO tetapi mempunyai agenda peribadi dan ternyata apabila sampai separuh jalan kita melihat ada ‘ghanimah’ yang lebih besar,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama beliau turut menjelaskan bahawa Presiden UMNO ini tidak keseorangan malah masih ramai ahli MKT dan pemimpin bahagian yang memberi sokongan serta dorongan kepadanya.

“Sokongan dari pemimpin bahagian amat penting kerana beliau memerlukan semangat daripada kita. Kalau terkuntang-kanting seorang sudah tentu sukar untuk beliau.

“Bertenang… bertenang jangan mudah terpedaya, terpengaruh, jangan mudah mendengar hasutan-hasutan dari luar dengan pelbagai konon, konon itu, konon ini… itu tidak betul,” ujarnya.

Gesanya, paling penting adalah kerajaan untuk rakyat.

“Untuk hari ini, esok dan seterusnya moga negara ini akan dilindungi oleh Allah SWT dan rakyat akan terus terbela walaupun siapa yang menjadi Perdana Menteri. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.