BN Sertai Kerajaan Perpaduan Kerana Akur Dengan Titah Agong – Isham

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berkata bahawa Barisan Nasional (BN) menyertai kerajaan perpaduan adalah kerana akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Melihat kepada rasional penyertaan tersebut, beliau berkata ia perlu dilakukan kerana keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti gabungan yang mempunyai cukup bilangan kerusi bagi menubuhkan kerajaan secara bersendirian.

“Kita akur dengan titah Agong bukan kita pilih sama ada untuk bersama dengan Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

“PH yang bersetuju untuk buat kerajaan Persekutuan, PN pula tidak mahu. Jadi sebab itu kita tulis bersetuju dengan titah Agong untuk masuk kerajaan perpaduan tanpa PN lagipun mereka yang tidak mahu.

“Tentang pilihan-pilihan yang kita ada asalnya memang hendak jadi pembangkang tetapi kalau kerajaan tidak boleh dibentuk macam mana ceritanya pulak? Kena pilih juga salah satu tapi Alhamdulillah kita tak perlu pilih pun sebab akur dengan titah Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian secara langsung pada program Hello Malaysia yang disiarkan menerusi Facebook UMNO Online.

Isham yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, penubuhan kerajaan perpaduan ini juga penting bagi meningkatkan pelaburan sekaligus merancakkan ekonomi negara.

“Jadi untuk ada kerajaan stabil, pelabur masuk jana ekonomi semula macam saya kata itu ekonomi saiz kita sekarang ini ialah USD360 bilion di bawah peringkat sebelum COVID-19 sebanyak USD380 bilion.

“USD20 kita kurang jadi macam mana hendak jana dan kembalikan keyakinan pelabur? Jadi kena ada kerajaan stabil tapi kalau katakan bersama dengan PN ngam-ngam bilangan kerusi,” ujar beliau.

Tambah beliau sekiranya ada isu-isu tertentu dilakukan oleh kepimpinan PH tidak disenangi rakyat maka ahli Parlimen BN mempunyai pilihan untuk menarik sokongan kepada kerajaan sedia ada.

“Kalau katakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Dap buat tidak tentu arah kita 30 ahli Parlimen ini en bloc tarik diri kerajaan akan jatuh jadi di situ kita boleh jadi semak dan imbang daripada segi praktikal dalam pembentukan kerajaan perpaduan ini. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.