Himpunan Solidariti Presiden UMNO: Kembalilah Bersatu, Kuatkan Semula UMNO

 

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Mana-mana Ketua UMNO Bahagian yang masih ragu serta bimbang dengan kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dinasihatkan untuk kembali bersatu bagi membantu menguatkan parti.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata, UMNO/Barisan Nasional (BN) berlapang dada di atas kekalahan yang menimpa parti itu maka kesatuan amatlah diperlukan untuk kekal relevan.

“Kita ingin menasihatkan mana-mana Ketua UMNO Bahagian yang masih lagi ragu, bimbang dan syak wasangka, kembalilah untuk kita bersama-sama membantu bagi mengukuhkan semula parti.

“Kita berlapang dada dan seharusnya kita bersatu padu. Kita hanya menang 30 kerusi dan sekiranya kita tidak bersatu, malanglah kita pada masa hadapan,” katanya semasa sidang media Himpunan Solidariti terhadap Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Jelasnya, himpunan tersebut diadakan bagi menunjukkan solidariti kepada Ahmad Zahid kerana terdapat satu gerakan yang mendesak beliau untuk berundur disebabkan kekalahan berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Pada petang ini saya dan rakan-rakan telah menjemput Ketua-Ketua UMNO Bahagian seluruh Malaysia untuk menunjukkan solidariti kepada Presiden kita kerana sebelum ini ada satu kumpulan telah meminta beliau melepaskan jawatan.

“Tetapi pada hari ini seramai 90 orang Ketua UMNO Bahagian hadir bersama saya meskipun ada lagi 40 orang yang tidak dapat hadir untuk menunjukkan sokongan mereka. Ini bermakna 130 Ketua UMNO Bahagian telah berikrar menyokong Presiden.

“… dan meminta beliau untuk meneruskan perjuangan dalam memastikan UMNO terus relevan pada masa ini serta pada masa yang akan datang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut menyatakan kekesalan atas tindakan parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan PBRS yang telah menggesa Pengerusi BN meletakkan jawatan.

“Kita juga ingin menyatakan kekesalan kita atas kebiadapan MCA, MIC dan PBRS yang telah menggesa presiden kita untuk meletakkan jawatan dalam BN.

“Sedangkan mereka ini kita bawa dan gendong selama beberapa puluh tahun serta segala kerusi mereka menangi adalah kerusi yang majoritinya Melayu. Tetapi apabila kita berada dalam keadaan genting, mereka cuba berpaling tadah,” katanya lagi.

Terdahulu, wujud ‘Gerakan Baju Merah’ yang mendesak Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur dan meletakkan jawatan beliau selepas parti itu kalah pada PRU ke-15.

Keputusan PRU ke-15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.