Yakini Kebijaksanaan YDP Agong, Doa Untuk Rakyat Dan Negara – Fairul Roslan

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Pemuda UMNO Melaka mengajak semua rakyat Malaysia untuk berdoa dan memberi sepenuh keyakinan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menyelesaikan kemelut dengan kebijaksanaan Baginda dalam membuat keputusan terbaik untuk rakyat dan negara.

Dalam hal ini, Ketuanya, Fairul Nizam Roslan berkata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Mahiaddin Yassin seharusnya menghormati cadangan Yang di-Pertuan Agong (YDP Agong) bukan mengingkari dengan membuat kenyataan kepada media yang dianggap menunjukkan sikap biadapnya kepada Istana.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) mendukung tinggi insititusi Raja Berperlembagaan. Kita semua wajar memiliki penuh keyakinan bahawa Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara akan melaksanakan peranan dan kuasa Baginda sebaiknya berlandaskan apa yang tertakluk dalam Perlembagaan serta mengambil kira segala sudut pertimbangan.

“Pemuda UMNO Melaka melihat cadangan yang dikemukakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara yang sangat baik kerana dua parti yang memenangi kerusi terbanyak harus bergabung membentuk kerajaan perpaduan dan Barisan Nasional (BN) akan terus menjadi pembangkang,” katanya kepada UMNO Online, di sini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan melihat kemelut politik yang berlaku kini menunjukan bahawa setiap gabungan parti tidak dapat membentuk kerajaan dan Pemuda UMNO Melaka berasa sedih di atas kekalahan terburuk BN terutama di Melaka.

“Pelbagai perkembangan terkini dan ramalan di buat, sehingga rakyat menjadi gusar bila mana politik terus berkecamuk dan menunjukkan bahawa dalam lima tahun ke hadapan negara tetap tidak akan stabil dan jelas malah Pengerusi PN itu langsung tidak menghormati YDP Agong.”

Terdahulu, kemelut pembentukan kerajaan berlaku disebabkan tiadanya gabungan parti politik yang memperoleh majoriti setelah keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 diumumkan pada 20 November 2022. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.