Pasca PRU15: Perpaduan Pemangkin Utama Pembangunan Negara – Syed Mohd Johan

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Perpaduan adalah pemangkin utama kepada pembangunan negara dan sebarang prinsip ekstrim perlu dilontar jauh bagi membentuk sebuah kerajaan yang stabil.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menyaksikan Malaysia memerlukan kerajaan yang stabil khususnya dalam berhadapan krisis ekonomi yang dijangka akan berlaku tidak lama lagi.

“Pasca Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 menyaksikan Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, berkemampuan dan berhala tuju bagi memastikan negara ini mampu mendepani cabaran masa depan, khususnya cabaran krisis ekonomi yang dijangka berlaku tahun hadapan.

“Memahami perpaduan adalah pemangkin utama kepada pembangunan negara, Malaysia dulu yang ditadbir harmoni oleh BN yang disertai oleh pelbagai kaum di negara ini, termasuk dari kalangan etnik dari Sabah dan Sarawak, sejak merdeka,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Alor Setar itu turut mencadangkan supaya Pakatan Harapan (PH) dan juga Perikatan Nasional (PN) menurut titah Yang Di-Pertuan Agong bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Menjunjung aspirasi titah cadangan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencadangkan PH dan PN menubuhkan Kerajaan Perpaduan, kedua parti itu harus melontar jauh sebarang prinsip ekstrim yang dibawa sebelum ini.

“Pengalaman selama 22 bulan yang menyaksikan perubahan ekstrim tidak dapat diterima majoriti rakyat Malaysia, serta memusnahkan keharmonian dan perpaduan kaum yang disemai BN selama ini.

“Justeru, PH dan PN harus menggalas amanah rakyat negara ini dengan mewujudkan sebuah Kerajaan Perpaduan yang tidak ekstrim dan meneruskan dasar-dasar yang bersesuaian dengan agama Islam, kepentingan kaum mengikut ketetapan perlembagaan dan kedaulatan negara,” katanya lagi.

Kemelut berhubung pelantikan Perdana Menteri ke-10 berlanjutan memasuki hari keempat selepas tiada gabungan parti yang mendapat majoriti mudah 112 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lepas bagi membentuk kerajaan.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit