Kepimpinan Parti Akan Buat Keputusan Sebaiknya, Rakyat Mahu Kerajaan Segera – Isham

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Isham Jalil berpandangan bahawa keputusan sebaiknya akan dilakukan oleh kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) bagi membuat penilaian berkenaan penentuan pembentukan kerajaan.

Bagaimanapun katanya, keputusan BN sebagai pembangkang masih kekal sebagaimana telah diputuskan sebelum ini.

“Kita di dalam situasi ditelan mati mak diluah mati bapa tapi apabila sudah sampai masa terpaksa buat keputusan ianya diputuskan oleh kepimpinan parti.

“Saya berpegang … ke Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) perlu bekerjasama, jangan sibuk-sibuk cari kita sebab kita memang hendak jadi pembangkang jadi kalau boleh buat kerajaan buatlah.

“Kita pula akan terus melaksanakan mandat rakyat kepada BN iaitu jadi pembangkang tapi kalau tidak boleh sangat kita tunggu keputusan selepas ini.

“… untuk sekarang kita semua bertenang dahulu dan fikir untuk pertimbangan terbaik, saya orang yang berdisiplin, sebarang keputusan yang bakal dibuat secara musyawarah sebab kepimpinan parti sudah mendapat mandat daripada akar umbi, kita akan akur dan lihat bagaimana selepas itu,” katanya menerusi Facebooknya pada siaran langsung yang dilakukan hari ini.

Mengulas lanjut Isham yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata sebarang keputusan untuk bersama dengan mana-mana gabungan juga membawa manifestasi berbeza khususnya bagi perjuangan UMNO/BN dalam pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

“Saya nak perjuangkan UMNO tak mahu terkubur jadi pilihan yang kita buat perlu melihat kepada survival UMNO itu sendiri.

“Kalau ikutkan saya, saya mahu PH dan PN bergabung dan kita jadi pembangkang kerana kita tidak mahu campur lagi dengan perkara ini sebab itu keputusan yang dibuat tidak mahu campur atau sokong mana-mana.

“Jika mereka (PH dan PN) tidak boleh sangat maka perlu untuk kita buat keputusan sebab pelabur semua tengok, ekonomi perlu dijaga, rakyat mahu kita bentuk kerajaan maka saya serah kepada kepimpinan tertinggi parti untuk buat keputusan,” ujar beliau.

Kemelut berhubung pelantikan Perdana Menteri ke-10 berlanjutan memasuki hari keempat selepas tiada gabungan parti yang mendapat majoriti mudah 112 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lepas bagi membentuk kerajaan.

Keputusan PRU15 menyaksikan BN memperoleh 30 kerusi, PH (82), PN (73), GPS (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi.– UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.