Calon Perdana Menteri PN Biadap, Penuh Dengan Kesombongan – Hariri

KUALA LUMPUR, 23 Nov – Pemuda UMNO Kelantan Noor Hariri Mohamed Noor berkata meneliti sidang media Tan Sri Mahiaddin Yassin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) semalam telah memberi gambaran sebenar kepada rakyat bahawa calon Perdana Menteri daripada PN ini seorang yang angkuh dan sombong.

Ini kerana katanya, terang-terangan Tan Sri Mahiaddin Yassin menyanggah permintaan YDP Agong untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan (Unity Government) setelah tiada satu parti pun mendapat majoriti mudah 112 kerusi selepas PRU15.

“Sanggahan ini merupakan satu lagi siri penderhakaan kepada Istana tanpa langsung memikirkan kepentingan negara yang telah masuk hari ke-4 Parlimen Tergantung.

“Suka diingatkan bahawa komposisi kaum dan agama Ahli Parlimen yang diwakili oleh PN langsung tidak mencerminkan citra warna negara apabila hampir 99% ahli Parlimennya adalah Melayu Islam.

“Oleh kerana itulah YDP Agong menyarankan agar ditubuhkan Kerajaan Perpaduan supaya suara rakyat daripada bangsa dan agama lain dapat digemakan di dalam Dewan Rakyat nanti,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu kata Hariri lagi, UMNO tidak akan lupa dengan sifat Mahiaddin Yassin yang suka berdendam dan mencari peluang bagi menghancurkan UMNO.

“UMNO tidak akan lupa dengan sifat beliau yang berdendam serta mencari peluang untuk menghancurkan UMNO dengan berbagai kaedah apabila awal-awal lagi telah membuat tindakan tidak bermoral untuk menjadi Perdana Menteri dengan ‘mencuri’ Ahli Parlimen BN daripada pintu belakang tanpa ada rundingan rasmi dengan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita juga tidak akan pernah lupa bahawa Mahiaddin Yassin yang mendalangi ‘Langkah Sheraton’ sehinggalah jatuh sebuah kerajaan yang menjadi kepada permulaan episod negara yang tidak stabil dan mengalami kemerosotan ekonomi akibat ketidakyakinan pelabur akibat pelaksanaan darurat yang bermotifkan politik,” ujarnya. – UMNO Online


@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.