Sabar Dan Rasional, Demi Masa Depan Negara – Agong

 

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan untuk rakyat bersabar dan memberi masa bagi penentuan jawatan Perdana Menteri.

Seri Paduka Baginda menitahkan bahawa sebarang keputusan yang akan diumumkan kelak dapat diterima semua pihak bagi kelangsungan pentadbiran negara ini.

“Mudah-mudahan insya-Allah (hari ini) tidak boleh jangka, tidak melihat apa-apa lagi.

“Bersabar terima keputusan rakyat, wakil rakyat dan Agong… ‘be rational’, bergerak ke hadapan untuk negara kita yang tercinta ini.

“Keputusan dalam masa yang terdekat ini,” titah Seri Paduka ketika menemui pengamal media di hadapan pintu 2, Istana Negara, hari ini.

Seri Paduka sebelum itu memasuki pekarangan Istana Negara pada jam 2.20 petang selepas meninggalkan Istana pada tengah hari tadi.

Terdahulu pada Isnin, Seri Paduka Baginda menitahkan ketua-ketua parti politik yang mempunyai majoriti terbanyak mengemukakan gabungan baharu dan calon Perdana Menteri kepada Istana Negara. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.