BN Tidak Sokong Mana-Mana Gabungan, Kekal Pembangkang – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 22 Nov – Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) telah membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang.

“Seperti yang saya janjikan semalam bahawa saya tidak akan bersama dengan Pakatan Harapan (PH) walau apa terjadi sekalipun.

“Alhamdulilah, Dewan Tertinggi BN telah buat keputusan bahawa kita tidak menyokong mana-mana gabungan untuk membentuk kerajaan.

“BN tidak menyokong PH mahupun Perikatan Nasional (PN). Setakat ini BN bersetuju kekal sebagai pembangkang,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Parlimen Malaysia boleh disifatkan kini berada dalam keadaan tergantung atau ‘Hung Parliament’ selepas SPR mengumumkan tiada parti memperoleh majoriti lebih 50 peratus daripada 219 kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Daripada 220 kerusi dipertandingkan, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi dan PN dengan 73 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) hanya menang 30 daripada 178 kerusi yang ditandingi.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang 22 kerusi, berbanding 18 kerusi disandangnya pada Parlimen lalu; Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan enam kerusi; Warisan (3); Bebas (2) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih satu kerusi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.