Pertemuan Pagi Tadi Pengerusi Bersama Ahli Parlimen BN – Ahmad

 

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini memaklumkan pertemuan yang berlangsung di Hotel Seri Pasific hari ini adalah di antara ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) bersama Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tanpa menjelaskan secara terperinci beliau berkata pertemuan itu dilakukan bagi membincangkan berkenaan langkah seterusnya dilakukan UMNO/BN.

“Pertemuan 30 ahli Parlimen BN, bincang kat dalam ini pertemuan jam 10 pagi. Saya mendapat jemputan ada pertemuan dengan kesemua ahli Parlimen BN dengan Pengerusi BN, ini untuk membincangkan tentang perkara yang hendak dilakukan,” katanya ketika ditemui media.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian juga menambah bahawa beberapa mesyuarat juga dilakukan pada semalam iaitu Biro Politik.

Ahmad pada masa yang sama berkata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, sentiasa terbuka untuk melakukan sebarang perbincangan bagi hala tuju selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Dalam Perlembagaan UMNO ada menyebut bahawa presiden mempunyai kuasa untuk menentukan apa yang terbaik untuk parti dan bagi kesempurnaan perjalanan parti malah beliau selalu membuat perbincangan.

“Semalam pun ada perbincangan dengan Biro Politik yang dihadiri oleh kesemua Pengerusi Perhubungan termasuk Timbalan Presiden,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Sa’adah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.