Mohamad Hasan Cadang PN, PH Gabung Tubuh Kerajaan

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung menubuhkan kerajaan kerana mereka mendapat bilangan nombor undi yang lebih tinggi.

Ujar Timbalan Presiden UMNO itu, BN bersedia menjadi pembangkang yang bertanggungjawab ‘check and balance’ kerajaan baru.

“Walaubagaimanapun, jika bantuan kami diperlukan dalam waktu peralihan pasca PRU (Pilihan Raya Umum) ini, kami tetap sedia menyumbang kepada pembukaan bicara yang ikhlas dan terbuka.

“Kalau masih tak dapat juga tubuh kerajaan, tolong jangan salahkan kami. Ini hasil daripada proses yang demokratik, untuk memulangkan mandat kepada rakyat. Kami hanya menghormati keputusan itu,” kata Ahli Parlimen Rembau itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebooknya sebentar tadi.

Ulasnya juga, BN menerima keputusan rakyat yang menolak BN.

“Maka kami ini tak ada kuasa untuk menubuhkan kerajaan,” ujarnya lagi.

Mohamad turut berharap semoga Malaysia sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT.

Untuk rekod, Sabtu lalu keputusan PRU15 menyaksikan sehingga hari ini masih tiada mana-mana parti dan gabungan yang dapat majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan persekutuan.

Pada PRU15 BN hanya mendapat 30 kerusi Parlimen manakala PH 82 kerusi dan PN 73 kerusi. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.