BN Mungkin Boleh Jadi Rakan Mesra Dalam Kerajaan Bakal Ditubuh, Namun Bersyarat

KUALA LUMPUR, 21 Nov – Ketua Wanita UMNO/Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berpandangan bahawa parti ini boleh menjadi rakan mesra dalam parti kerajaan yang akan ditubuhkan kelak namun perlu bersyarat.

Katanya, syarat itu adalah memberi kebebasan kepada BN untuk berbahas dalam memainkan peranan ‘semak dan imbang’ bagi kerajaan.

“Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan, tiada mana-mana gabungan politik yang berjaya mendapat majoriti mudah, 112 kerusi untuk membentuk kerajaan.

“Berbekalkan 30 kerusi Parlimen yang dimenangi, BN wajar untuk terus berada di dalam blok pembangkang namun BN boleh menjadi rakan mesra dalam mana-mana gabungan politik sekiranya diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.

“Keputusan menjadi rakan mesra parti kerajaan juga perlu dibuat secara bersyarat di mana BN diberi kebebasan dalam berbahas / sokong/ tolak sebagai blok neutral (check and balance) bagi apa sahaja usul yang dibentang atau dicadang oleh kerajaan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu menambah, BN pada ketika ini fokus kepada agenda memulihkan kembali kepercayaan daripada rakyat pada masa akan datang.

“BN juga diminta agar tidak meruntuhkan mana-mana gabungan politik kerajaan yang sudah terbentuk sehingga Parlimen dibubarkan, selagi mana gabungan politik tersebut masih menjunjung tinggi semangat perlembagaan dan kestabilan politik negara.

“Keputusan yang telah dibuat oleh rakyat perlu dihormati. Tumpuan utama perlu diberikan untuk memulihkan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional semula,” ujar beliau. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.