UMNO Perlu Cari Jalan Pulihkan Parti, Akar Umbi Setia Dalam Perjuangan

KUALA LUMPUR, 20 Nov – UMNO perlu mencari jalan dan berusaha untuk memulihkan parti supaya ia diterima semula oleh rakyat pada masa akan datang, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil.

Jelasnya, beliau pasti akar umbi UMNO akan terus setia dan istiqamah dalam perjuangan ini meskipun telah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan.

“Melihat ke hadapan, kita perlu mencari jalan dan berusaha untuk memulihkan parti supaya ia diterima semula oleh rakyat pada masa akan datang. Sekiranya kita terus ikhlas dan jujur dalam perjuangan inshaAllah Allah SWT akan bantu kita mencapai kejayaan.

“UMNO adalah parti yang banyak berjasa kepada negara dan rakyat. Jika kita menuju ke jalan yang lurus, nescaya perjuangan kita akan diredhai Allah. Allahu, ihdinas siratal mustaqim.

“Saya pasti akar umbi UMNO akan terus setia dan istiqamah dalam perjuangan ini, walaupun dengan apa jua cabaran dan dugaan yang melanda seperti yang kita telah hadapi pada sebelum-sebelum ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Shah Alam turut mengucapkan terima kasih kepada semua ahli dan akar umbi seluruh negara yang bekerja keras sepanjang tempoh empat tahun setengah kebelakangan ini.

“Kepada ahli-ahli dan akar umbi UMNO di seluruh negara, saya ingin mengucapkan terima kasih ke atas segala usaha dan kerja keras anda semua sepanjang tempoh pilihanraya dan juga sepanjang empat tahun setengah kebelakangan ini selepas kita kalah PRU-14.

“Kini kita telah tewas lagi dalam PRU-15. Rakyat telah memberikan mandat kepada parti yang mereka pilih untuk mentadbir negara. Ini adalah ketentuan Allah SWT, kita telah berikhtiar sebaik mungkin namun Allah yang menentukan segala-galanya,” katanya lagi.

Tambah Isham Jalil lagi, sekiranya UMNO/BN ditentukan untuk menjadi pembangkang maka mereka perlu menjadi pembangkang yang kuat untuk menyemak imbang kerajaan.

“Jika sudah ditentukan kita menjadi pembangkang, kita perlu berani menjadi pembangkang yang kuat untuk menyemak imbang kerajaan. Mungkin itulah ketentuan Allah SWT, supaya kita menjadi penyemak imbang kepada kerajaan untuk kepentingan rakyat kali ini.

“Saya akan terus bersama tuan-tuan dan puan-puan dalam mencari dan mencapai penyelesaian dan pembaharuan sehingga kita berjaya memulihkan parti kita ini bersama-sama dan sehingga parti kita ini diterima semula oleh rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.