PRU15: Buat Pilihan Bijak, Utamakan Kestabilan Demi Kemakmuran

ALOR GAJAH, 18 Nov – Rakyat dinasihatkan untuk membuat pilihan yang bijak ketika membuang undi untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ini bagi menentukan kerajaan yang bakal mentadbir negara.

Berdasarkan tinjauan UMNO Online di sekitar pekan Alor Gajah, rata-rata rakyat sudah serik dengan pengalaman 22 bulan di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan mengharapkan supaya Barisan Nasional (BN) kembali memerintah.

Seorang mekanik di sini, Muhammad Saiful Anuar, 25, berkata, sememangnya beliau sekeluarga merupakan pengundi setia BN dan mengharapkan agar parti itu kembali memerintah.

“Kalau nak dibandingkan dengan PH, banyak manifesto yang ditawarkan dan tidak ditunaikan. Kalau nak diikutkan, keluarga saya memang mengundi BN dari dulu lagi. Jadi, saya harap BN akan menang pada PRU ke-15 ini.

“Pada tahun ini saya berumur 25 tahun dan ini adalah kali pertama saya mengundi. Pesanan saya kepada para pengundi di luar sana, buatlah pilihan yang bijak dan pilihlah kestabilan demi kemakmuran,” katanya kepada UMNO Online.

Dalam pada itu, Norfaranina Zulkipli, 25, berpesan kepada para pengundi untuk berfikir sebelum membuat pilihan dan menyelidik latar belakang parti serta calon.

“Kita sebagai rakyat dapat tengok sendiri dengan jelas kebanyakan janji PH sebelum ini hanya diibaratkan ‘menanam tebu di tepi bibir’. Bagi saya sendiri, kita letakkan akal fikiran di tempat yang tertinggi sebelum kita mengundi. Lihat dahulu latar belakang parti serta calon.

“Saya mewakili Generasi Z (Gen-Z) menyeru semua pengundi supaya jangan lepaskan peluang untuk mengundi kerana satu undi anda amat bermakna dan memberi manfaat dalam membentuk negara. Jangan lupa untuk memilih parti yang stabil demi masa depan kita,” katanya lagi.

Pada PRU ke-14 lalu, BN tewas selepas memerintah selama 61 tahun. Kerusi yang diperoleh pula jauh merosot kepada hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13. Lantaran itu, tekad gelombang biru kali ini adalah bagi mengembalikan mandat kepimpinan kepada BN dengan tema ‘Kestabilan dan Kemakmuran’.

Terdahulu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada PRU ke-15 (PRU-15). – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.