PH Janji Bulan Bintang Tapi Tak Buat… Rakyat Teraniaya – Aminuddin

TAMBUN, 18 Nov – Pengundi dinasihati agar jangan terpengaruh dengan janji-janji manis dan bulan bintang sebagaimana yang terjadi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Tambun Datuk Aminuddin Hanafiah.

Tegasnya, PRU14 menyaksikan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan tetapi banyak yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya gagal dipenuhi hingga menyebabkan rakyat teraniaya.

Untuk rekod, PH pada ketika itu dianggotai PPBM, PKR, Dap dan Pan gagal urus tadbir negara hingga ekonomi negara merudum, bursa saham menjunam kesan hilang kepercayaan pelabur, politik huru-hara, hutang negara semakin meningkat, kedaulatan negara tergugat dan keharmonian kaum diperkotak-katikkan.

Tambah memeritkan, rakyat disuruh ikat perut dan jangan mengharapkan wang percuma dari kerajaan, bantuan dipotong serta pelbagai lagi kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh rakyat dan akibat pertelagahan sesama parti di dalam PH, mereka hanya bertahan selama 22 bulan sahaja runtuh di atas tangan sendiri.

Justeru bagi PRU15 ini, Aminuddin menyeru pengundi agar menggunakan hak sebagai rakyat dengan sebaiknya memilih parti yang boleh membentuk kerajaan yang stabil dan seterusnya memberi kemakmuran.

“Sebelum mengundi, fikirlah dengan hati terbuka dan pemikiran yang lapang parti mana mementingkan kestabilan.

“Kita perlukan kestabilan untuk memacu negara ke hadapan dan kestabilan itu hanya diperolehi bermula dengan kestabilan politik, diikuti kestabilan ekonomi dan akhirnya akan membentuk kestabilan sosial.

“Dan penghujungnya kemakmuran akan dikecapi oleh rakyat. Inilah putarannya. Kalau tidak ada kestabilan politik sepertimana yang telah kita hadapi penggal yang sebelum ini macam-macam benda tergendala (seperti) perancangan-perancangan untuk melakukan pembangunan dan sesuatu yang memberi manfaat kepada rakyat,” ujarnya lagi.

Aminuddin berkata demikian ketika ditemui UMNO Online di Bilik Gerakan Manjoi Baru di sini baru-baru ini selepas majlis ramah mesra bersama pesara kerajaan Gugusan Manjoi.

Tambahnya juga, dalam sesebuah kerajaan amat diperlukan satu parti yang dominan bagi menjamin kestabilan seperti yang ditunjukkan lebih 60 tahun sebelum ini.

Ia juga katanya bagi memastikan segala perancangan untuk kemakmuran rakyat dapat dilaksanakan dengan sebaiknya tanpa diganggu-gugat oleh pihak lain sebagaimana yang terjadi di dalam kerajaan PH.

Seterusnya berhubung dengan hari pengundian pada Sabtu ini, Aminuddin menasihati anak muda juga jangan mudah terpedaya dengan janji-janji palsu yang ditawarkan sesetengah pihak sepertimana yang pernah dilakukan oleh PH.

“Anak muda yang pertama kali mengundi. Pertamanya mereka kena berfikiran matang. Undi bukanlah sesuatu perkara yang boleh dibuat main kerana ia melibatkan masa depan kita.

“Dan kepada yang pernah mengundi, yang telah melakukan kesilapan jangan ulangi kesilapan, fikirlah dengan matang dan elakkan kesilapan yang sama buat kali kedua,” katanya.

Pada PRU15 ini, Parlimen Tambun menyaksikan pertandingan empat penjuru di mana Aminuddin akan berhadapan dengan PH-PKR, Perikatan Nasional (PN)-PPBM dan Pejuang.

Untuk rekod, pada PRU14, kawasan itu dimenangi oleh PPBM mewakili PH yang bertanding atas tiket PKR. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.