Pembangunan Bagan Datuk Diseimbangkan Agar Hidup Rakyat Damai, Sentosa

KUALA LUMPUR, 18 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meluahkan penghargaan beliau atas kepercayaan yang diberikan rakyat Bagan Datuk kepada dirinya sebagai ahli Parlimen di kawasan itu.

Menurutnya, sejak kali pertama dipilih menjawat jawatan itu beliau amat mengerti kepercayaan diberikan tersebut bukanlah sebuah hadiah.

“Sebaliknya ia sebuah amanah dan tanggungjawab yang perlu diterjemahkan untuk seluruh rakyat Bagan Datuk, saya perlu berusaha membawa pelbagai pembangunan demi kesejahteraan masyarakatnya berbilang kaum dan agama.

“Pembangunan yang namun haruslah diseimbangkan agar hidup masyarakat Bagan Datuk damai dan sentosa tidak terkesan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau dalam pada itu turut menyenaraikan pembangunan yang telah dibawa ke kawasan sepanjang menjadi ahli Parlimen:

– Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk bernilai RM101.3 juta (telah siap).
– Kompleks Sukan Bagan Datuk bernilai RM32.3 juta (telah siap).
– Tiga buah Rumah Pam bernilai RM2.817 juta (telah siap).
– Pembelian dan pembaikan bangunan bagi kegunaan Pejabat Kebajikan Daerah Bagan Datuk (telah siap).
– Klinik Kesihatan Hutan Melintang dengan kuarters bernilai RM5.294 juta (telah siap).
– Naik taraf laluan Simpang Empat Hutan Melintang – Parit 19 bernilai RM94.979 juta (telah siap).
– Politeknik Bagan Datuk bernilai RM165.1 juta (dalam pelaksanaan).
– Jambatan Bagan Datuk bernilai RM408.7 juta (dalam pelaksanaan).
– Kem askar wataniah bernilai RM26.5 juta (dalam pelaksanaan).
– Dewan Serbaguna di Mukim Rungkup bernilai RM3.289 juta (dalam pelaksanaan).
– Kompleks Masjid Tuminah berserta Dewan Serbaguna dan Pusat Pengajian Al-Quran bernilai RM50 juta (dalam pelaksanaan).

Bagaimanapun jelas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu lagi menjelang hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada esok, ‘musuh’ muncul semula di Bagan Datuk bagi melampiaskan hasutan politik mereka.

Namun katanya, kali ini mereka datang dengan agenda yang lebih besar iaitu untuk menyekat beliau sebagai orang nombor satu dalam UMNO/BN.

“Demi masa sudah tentu akan tiba jua waktu untuk masyarakat Bagan Datuk diuji lagi. Pengerusi BN dan Presiden UMNO yang menjadi halangan terbesar mereka untuk kembali berkuasa dan menipu rakyat.”

Beliau berharap untuk rakyat rasional ketika berhadapan dengan propaganda daripada parti lawan dan mengingati semula projek-projek yang telah dibawa beliau ke kawasan namun dibatalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan suatu ketika dahulu.

Ahmad Zahid juga turut menyenaraikan pembangunan yang dibatalkan tersebut:

– Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bagan Datuk bernilai RM141 juta.
– Pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Datuk bernilai RM12 juta
– Pembinaan Kolej Komuniti Bagan Datuk bernilai RM36.5 juta.
– Pembinaan Hotel di Bagan Datuk bernilai RM73.5 juta.
– Pembangunan Infrastruktur Bagan Datuk Watercity (BDWC) – NCIA bernilai RM603.8 juta.
– Persimpangan Bertingkat (Flyover) dari FT005 ke FT069 Hutan Melintang bernilai RM202.4 juta.
– Pembinaan Infrastruktur Perak Heavy Industrial Park (PHIP) – NCIA bernilai RM606.3 juta.
– Naik taraf Laluan FT069 Parit 19 – Pekan Bagan Datuk bernilai RM529 juta.
– Klinik Kesihatan Bagan Datuk Water City bernilai RM30 juta.
– Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan bernilai RM36.5 juta.
– Kompleks Pentadbiran Daerah Bagan Datuk bernilai RM41.6 juta.
– SMKA Bagan Datuk bernilai RM75 juta.
– Bagan Datuk Digital Library bernilai RM5.4 juta.
– Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk bernilai RM138 juta.
– Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Bagan Datuk bernilai RM140 juta.

Mengulas lanjut katanya, kesemua projek yang dibatalkan selepas PRU14 itu sepatutnya memajukan lagi taraf ekonomi Bagan Datuk juga membuka banyak peluang pekerjaan untuk ramai penduduk sekali gus menaikkan taraf hidup masyarakatnya.

“Justeru, masyarakat Bagan Datuk yang saya hormati mengundilah secara bijaksana pada 19 November ini mengertilah anda bukan sahaja penentu kepada masa depan Bagan Datuk, malah Malaysia keseluruhannya.

“Undi anda antara penentu terpenting sama ada kestabilan demi kemakmuran dapat dipulihkan pada PRU15, semoga rakyat Bagan Datuk membuat pilihan tepat mengundi BN bukan saja demi Bagan Datuk, tetapi untuk Malaysia,” ujar beliau. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.